Wednesday, 30 September 2015

PENANGAN MAGGI KETAM POWER.

Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my

Pasti ramai yang tidak percaya atau menjangka gabungan mi segera maggi dan ketam mampu memikat selera apabila digabungkan bersama-sama.

Bagi yang belum mencuba atau tidak yakin dengan menu itu, pastikan anda cuba dan menikmati resipi rahsia disediakan pemilik Restoran Maggi Ketam Power di Puchong, Selangor.

Pemiliknya, Norfazilah Jusoh, 36, berkata, menu maggi ketam power menggunakan pes yang dicipta sendiri selepas mencuba beberapa bulan.

“Saya mencuba berkali-kali untuk mendapatkan pes yang terbaik bagi memastikan pelanggan menikmati hidangan yang lazat,” katanya.

Ketika penulis mencuba maggi ketam power, baru-baru ini, rasanya memang lain, ditambah dengan ketam segar yang dimasak bersama kuah yang me­nyelerakan.

Berbeza dengan maggi ketam lain yang penulis cuba, kuahnya pekat dan menghasilkan rasa yang unik dan sedap.

Rasanya pedas diselang-seli dengan rasa masin manis cukup menyelerakan dan perahan limau kasturi melengkapkan hidangan itu.

Antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan pes kuah itu ialah bawang putih, bawang merah, halia, serai, cili dan udang kering.

Selain maggi ketam yang menjadi pilihan pelanggan, Restoran Maggi Ketam Power turut terkenal dengan maggi udang galah dan terbaru, maggi gearbox.


Ketiga-tiga menu itu menggunakan pes yang sama dan hanya berbeza daripada jenis protein yang digunakan.

Dia yang mengusahakan restoran itu bersama suaminya, Mohd Azmanizam Bahruddin berkata, selain maggi terdapat hida­ngan nasi goreng ketam dan udang galah.

Dia tidak menyangka sambutan pelanggan di luar dugaan walaupun minggu pertama restoran itu dibuka.

“Bagi harga promosi untuk hidangan maggi ketam power ialah RM14 semang­kuk dan kami menyediakan pengetuk serta penyepit bagi memudahkan pelanggan,” katanya.

Restoran Maggi Ketam Power turut menerima tempahan katering untuk pelbagai jenis hidangan.

Beroperasi pada jam 4 petang hingga 2 pagi, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut di Facebook Nor Fazilah atau terus ke restoran itu di 234 Jalan Jurutera, Kampung Sri Aman Luar, Batu 13, Puchong, Selangor.

No comments:

Post a Comment