Sunday, 20 September 2015

PAS SELANGOR TIDAK PERNAH AJAK KHALID SERTAI PARTI.


Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammed Azhar - ANTARAPOS 20 Sept 2015.

AMPANG : PAS Selangor tidak pernah membuat pelawaan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menyertai parti itu, tegas Pesuruhjayanya, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas khabar angin berkenaan bekas Menteri Besar Selangor itu yang bakal bersama dengan parti Islam tersebut.

"PAS Selangor tidak pernah membuat apa-apa tawaran kepada Khalid untuk sertai parti.

"Ia dibangkitkan oleh Pemuda PAS Kedah, namun atas alasan apa saya sendiri tidak pasti.

"Malah PAS Selangor setakat ini tidak ada sebarang perbincangan tentang hal itu," demikian menurut Iskandar ketika ditemui Antarapos selepas menghadiri Wacana Golongan Profesional dan Landskap Politik Terkini, di sini, hari ini.

Sebelum ini timbul dakwaan bahawa Khalid dalam masa terdekat ini bakal menyertai PAS.

ADUN Pelabuhan Klang itu mengakui menerima pelawaan untuk menyertai parti berkenaan, namun masih belum mempertimbangkannya ekoran masih mempunyai beberapa urusan yang perlu diselesaikan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengenai pemecatannya di dalam PKR.

Khalid dipecat oleh PKR pada tahun lalu selepas beliau enggan akur dengan keputusan parti supaya mengosongkan jawatan Menteri Besar Selangor.

Dalam pada itu Naib Presiden PAS, Idris Ahmad semalam berkata bahawa parti itu terbuka untuk menerima sesiapa sahaja untuk menyertai PAS namun keputusannya harus dibuat oleh kepimpinan parti dan bukan individu.

No comments:

Post a Comment