Sunday, 20 December 2015

PERKASA : PAS PERLU FIKIR PANJANG.


Ramai ahli-ahli dan penyokong PAS berharap kehadiran Setiausaha Agung dan Pengarah Pilihanraya PAS di Perhimpunan Agung Perkasa baru-baru ini adalah kali terakhir pemimpin PAS dilihat bersama pimpinan pertubuhan tersebut.

Sebelum ini Presiden PAS dipeluk oleh Presiden Perkasa pada satu sidang akhbar di Pejabat Agung PAS.

Memang benar PAS bersikap terbuka dengan mengadakan hubungan dengan semua pihak tidak mengira kaum, agama atau fahaman politik tetapi pimpinan tertinggi PAS perlu berfikir panjang jika mahu mengadakan hubungan rasmi dengan Perkasa.

Imej pertubuhan itu amat buruk bukan sahaja di kalangan masyarakat bukan Melayu malah di kalangan masyarakat Melayu sendiri. Ramai yang mempertikaikan pendirian perkauman yang ekstrim pertubuhan tersebut. Oleh itu, berkawan dengan Perkasa tidak akan melonjakkan sokongan orang Melayu terhadap PAS.

PAS sebaliknya patut mendekati NGO-NGO Melayu dan Islam jika mahu menggantikan UMNO sebagai parti utama orang Melayu. Fahaman perkauman sempit tidak akan membantu PAS. (Samiul Jafri)

PAS DEKATI UMNO BAGAI DEKATI PENAGIH DADAH.


Ramai yang telah mempolitikkan kehadiran Presiden PAS pada Multaqa Al-Azhar yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.

Ada yang meroyan menghentam Presiden PAS kiri dan kanan seolah-olah telah melakukan satu dosa besar.

Perkara kecil seperti baju sedondon pun turut dibangkitkan. Begitu kehilangan modal mereka yang memusuhi PAS dan membenci Presiden PAS.

Beliau hanya hadir dan berpeluang memberi nasihat serta teguran di dalam ucapan beliau. Tidak ada janji untuk bersatu dengan UMNO. Tidak ada janji untuk memasuki BN.

Seorang penagih dadah tegar, perlu dinasihati, perlu ditegur, perlu dikembalikan ke pangkal jalan.

UMNO adalah bagai penagih dadah tegar. Berjumpa dan bertemu untuk menasihati dan menegur. Tidak lebih dari itu. (Samiul Jafri)

Tuesday, 15 December 2015

BIARKAN PAN MATI DIKUBUR YANG TIDAK BERNISAN.


Pimpinan PAS tidak perlu melayan sebarang provokasi oleh pimpinan PAN. Provokasi ini sengaja dilakukan kerana PAN telah kehabisan modal di samping gagal menarik sokongan masyarakat Melayu.

Ini amat membimbangkan pimpinan PAN kerana mereka berhadapan dengan risiko diketepikan oleh DAP. DAP mengharapkan PAN boleh menggantikan PAS di dalam pakatan pembangkang yang baru tetapi ternyata PAN telah gagal. Tanpa sokongan DAP sukar untuk melihat PAN dapat bertahan.

Oleh yang demikian mereka terpaksa mewujudkan provokasi seperti tuduhan Presiden PAS Mat Sabu bahawa PAS diresapi pengaruh ISIS. Tanpa provokasi seperti itu orang ramai akan melupakan PAN dan parti itu akan terus tenggelam.

Maka jika PAS Pulau Pinang menyaman Mat Sabu kerana menuduh PAS, ia hanya akan menguntungkan PAN. Ia adalah bagai memberikan oksigen kepada orang yang lemas. Kita patut biarkan PAN ketandusan isu dan akhirnya ia akan mati di kubur yang tidak bernisan. (Samiul Jafri)

Tuesday, 8 December 2015

PAS TIDAK AKAN MENJADI PENYELAMAT UMNO.


PAS kekal dengan dasar Islam yang bercanggah dengan dasar pragmatism dan nasionalisme yang menjadi dasar perjuangan Umno.

"Tidak mungkin PAS akan bekerjasama dengan Umno yang sejak ditubuhkan sehingga kini masih menjalankan penindasan dan kezaliman kepada ahli dan kepimpinan PAS," kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, Kelantan terus ditekan sehingga hasil petroleum disedut namun royalti yang ditandatangani terus dinafikan.

Tambah beliau, Terengganu pada saat PAS menang terus dinafikan hak royalti.

Selain itu, katanya Enakmen Jenayah Syariah yang dijanjikan akan disokong terus dinafikan untuk dibentang.

"Apakah PAS akan percaya di saat Umno tertekan mereka mencari PAS?" tanya beliau dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau menegaskan PAS tidak akan jadi penyelamat kebobrokan dalam Umno BN.

"Kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pada saat kemelut yang melanda dalaman mereka sekarang hanyalah satu usaha mengalih isu sebenar yang sedang melanda PM," ujarnya lagi. (Harakahdaily, 8 Disember 2015)

AKAR UMBI PAS AKAN MENOLAK UMNO.


Naib Presiden PAS, Dato' Iskandar A. Samad, berkata kenyataan Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, bahawa PAS bersedia untuk bekerjasama dengan UMNO adalah satu mimpi di siang hari.

Menurut beliau, Dato' Seri Najib patut sedar dari mimpi dan menyelesaikan masalah dalaman UMNO terlebih dahulu.

Katanya, jangan digunakan PAS sebagai satu "smokscreen" untuk menutup masalah parti itu kerana ia sedang berhadapan dengan satu krisis dalaman yang serius seperti tahun 1988 dan 1998.

"UMNO telah melakukan terlalu banyak "dosa" terhadap PAS terutamanya kepada akar umbi PAS.

"Ahli-ahli PAS atau keluarga mereka dinafikan pelbagai peruntukan atau bantuan yang sepatutnya diterima sebagai warganegara yang sah di negara ini.

"Penjawat-penjawat awam yang condong kepada PAS diberi amaran, diugut atau dipindahkan.

"Gerai-gerai peniaga-peniaga yang menyokong PAS dirobohkan sementara aktivis-aktivis PAS ditahan malah ada yang meninggal dunia akibat tahanan tersebut", tambah beliau.

Iskandar juga mengingatkan Kelantan dianaktiri sejak penubuhan kerajaan PAS yang pertama dalam tahun 1959 dan kerajaan PAS Terengganu juga telah dinafikan hak kepada royalti petroleum.

"UMNO akan sentiasa mencari PAS apabila tertekan tetapi terlalu banyak "dosa" UMNO terhadap PAS dan sudah tentu mustahil bagi akar umbi PAS untuk memaafkan UMNO", beliau memberi amaran.

Sunday, 6 December 2015

HARAKAH BAKAL DIBOIKOT LAGI.


Harakah, akhbar rasmi PAS bakal diboikot lagi berikutan rasa tidak puas hati ahli-ahli kerana ia memberikan publisiti kepada pemimpin-pemimpin tertentu sahaja.

Sebelum Muktamar di Kuala Selangor jualan akhbar tersebut telah jatuh menjunam kerana dilihat hanya memberi ruang kepada sekelompok kecil pemimpin PAS.

Apabila berlaku pertukaran pentadbiran selepas Muktamar tersebut ramai berharap satu perubahan besar akan berlaku kepada Harakah.

Memang benar kelompok pemimpin dahulu tidak lagi menguasai ruang-ruang di akhbar itu namun mereka telah digantikan oleh satu kelompok pemimpin yang baru.

Mereka hari ini mendapat tempat utama di dalam hampir setiap keluaran Harakah malah terdapat pemimpin-pemimpin tertinggi PAS yang hanya mengisi ruang-ruang sampingan sahaja.

Perkembangan ini dapat dikesan oleh ahli-ahli dan ada yang telah menyuarakan kebimbangan mereka kepada Presiden PAS sendiri.

Harakah perlu menjadi lebih inklusif. Ia milik parti bukan milik kelompok pemimpin tertentu. Jika penyakit lama muncul kembali ahli-ahli akan sekali lagi menolak Harakah. Sudah tentu ini tidak baik untuk PAS kerana Harakah adalah di antara penyumbang dana terbesar kepada parti tersebut.

Oleh itu Harakah perlu dilihat sebagai akhbar resmi PAS yang sebenar. Memberikan ruang-ruang utama kepada pemimpin-pemimpin tertinggi dan bukan kepada "kroni-kroni" tertentu sahaja.

Harakah juga mesti adil. Setiap negeri dan kawasan mestilah diberi peluang. Jangan tertumpu kepada negeri atau kawasan tertentu sahaja. (Samiul Jafri)

Tuesday, 1 December 2015

UG ATAU ISIS, MANA SATU PELURU PAN?


Mutakhir ini, pimpinan Parti Amanah Negara (PAN) mulai menyerang PAS dengan mengaitkan PAS dengan ISIS atau terrorisme. Yang terkini, kenyataan Presiden PAN sendiri seperti yang dilaporkan dalam The Malaysianinsider, antara sebab PAN ditubuhkan disebabkan PAS kini dipengaruhi oleh ISIS. Sebelum ini, PAS dituduh mahu bersekongkol dengan parti pemerintah, iaitu UMNO atau BN atas nama Kerajaan Perpaduan (UG), yang juga dimomokkan sebagai punca mengapa PAN ditubuhkan.

Melihat kepada tuduhan-tuduhan tersebut, Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melihat dengan jelas berlakunya 'paradox' antara tuduhan ISIS dan tuduhan UG. Sesebuah kumpulan yang terpengaruh dengan ISIS, sifat mereka begitu melampau terhadap pemerintah Muslim yang tidak sealiran dengan mereka. Dalam berhadapan dengan pemerintah seperti ini, ISIS akan mengangkat senjata untuk memcapai matlamat mereka, dan tiada langsung jalan perdamaian.


Pada masa yang sama PAS dituduh pula mahukan kepada UG, iaitu membentuk kerajaan perpaduan bagi membetulkan sistem dan budaya politik tempang dalam negara ini. Ramai pemimpin dan penyokong PAN menuduh PAS mahu berkerjasama dengan UMNO dan BN, sehingga mereka keluar dan menubuhkan parti baru. Jika PAS dituduh diserapi pemikiran ISIS, mengapa pula PAS dituduh mahu berkerjasama dengan pemerintah kerana pendekatan ini jauh berbeza dengan ISIS.

Berdasarkan 'paradox' kedua-dua tuduhan itu, PPP melihat kepimpinan PAN lah sebenarnya yang semakin keliru dan celaru. Mereka tidak tahu, peluru mana yang mahu diguna untuk menyerang PAS. Mereka juga sedang mencari alasan memberikan jawapan kepada ahli-ahli mereka yang 'pening' bagi mewajarkan mengapa mereka keluar dari PAS. Kepimpinan PAN dinasihatkan menyelesaikan dahulu kecelaruan mereka, dan mencari titik persamaan supaya kumpulan pro Syiah, pro Tanzim Alami dan pro Anwariyyun dapat disetarakan pemikirannya.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah PPP
1 Disember 2015
19 Safar 1437

PAN SEMAKIN TIDAK RASIONAL


Ramai berpandangan PAN semakin tidak rasional dengan serangan-serangan membabi buta terhadap PAS.

Sebelum ini mereka mendakwa bahawa PAS hendak mendirikan kerajaan perpaduan atau UG (Unity Government) bersama UMNO. Sekarang Presiden PAN, Mohammad Sabu, mendakwa PAS telah diresapi oleh pemikiran ISIS.

UG bermakna PAS akan bersama dengan kumpulan nasionalis. Sementara ISIS adalah kumpulan militant. Nasionalis dan militant ISIS adalah jauh berbeza dari segi ideologi. Oleh itu tuduhan PAN terhadap PAS adalah tidak masuk akal. Tidak rasional.

Tetapi kenapa ia terjadi? Mungkin kerana PAN tertekan akibat dari perkembangan-perkembangan terkini.

Yang pertama adalah apabila Menteri Besar Selangor YAB Mohammad Azmin Ali menolak penubuhan kerajaan PH di negeri Selangor. Kerajaan negeri Selangor masih dianggotai oleh PAS selain dari PKR dan DAP.

Kedua, PAS tidak memperdulikan provokasi-provokasi dari PAN. Tetapi PAS terus dengan program-program dalaman atau luaran mereka. Keahlian PAS juga meningkat berkali-kali ganda. Seolah-olah PAN bagaikan kemuncup yang menyusahkan tetapi tidak berupaya menghalang.

Ketiga dan yang paling pahit adalah sorakan gemuruh apabila nama PAS disebut pada Kongres Nasional PKR Sabtu lepas di Shah Alam. Walhal peserta kongres hanya bertepuk biasa apabila nama-nama PAN dan DAP disebut.

Begitu marah PAN sehingga Pengarah Komunikasi mereka YB Abdul Khalid Samad menyifatkan PKR sedang diperkudakan oleh PAS.

Nasib PAN amat malang. Walau pun mereka adalah "anak emas" DAP tetapi DAP sejak akhir-akhir ini tidak banyak membela PAN. Mungkin DAP telah sedar bahawa PAN tidak akan dapat menarik undi orang Melayu. Malah janji untuk menarik puluhan ribu ahli-ahli PAS hanya tinggal janji semata-mata.

Bagaikan daun-daun berwarna oren ketika musim luruh, ia akan gugur keseluruhannya. Tetapi bila tiba musim bunga, daun-daun hijau akan menggantikannya. (Fakri Yusuf)

Monday, 30 November 2015

PAS "GILA TALAK".


PAS perlu lebih serius di dalam menghadapi cabaran-cabaran baru di Selangor kerana terdapat 2 situasi baru yang PAS perlu tangani tetapi tidak kelihatan mereka melakukan sesuatu yang serius.

Situasi pertama adalah keputusan DAP untuk bertanding di 8 kerusi PAS. Tetapi tindakbalas yang bersungguh-sungguh dari PAS tidak kelihatan sehingga hari ini. Paling kurang PAS boleh melakukan 2 perkara.

PAS boleh melakukan perkara yang sama ke atas DAP dengan mengumumkan kerusi-kerusi DAP yang PAS akan tandingi. Tetapi ini tidak berlaku. Adakah PAS terlampau takut kepada DAP atau masih mengharapkan sesuatu dari DAP seperti orang gila talak?

Atau sekurang-kurangnya melancarkan satu gerak kerja besar-besaran untuk mempertahankan 8 kerusi tersebut. Tetapi rakyat tidak nampak ini berlaku. Malah terdapat ADUN PAS yang sibuk menjelajah ke luar Selangor ketika kerusi mereka diancam.

Situasi kedua adalah sokongan yang diberikan oleh YAB Mohd Azmin Ali terhadap PAS walaupun dibantah DAP dan PAN.

Dengan sokongan yang diberikan beliau PAS sepatutnya menyambutnya dengan mengadakan lebih banyak program-program bersama PKR. Tetapi hari ini rakyat hanya melihat kerjasama di kalangan parti-parti PH. Tetapi di manakah program-program Pakatan Rakyat jika ia masih wujud?

PKR berada di dalam PH. Hanya sebahagian dari pimpinan PKR mahu bersama PAS. Maka tugas untuk menghidupkan Pakatan Rakyat adalah di tangan PAS. Jangan hanya berwirid Pakatan Rakyat masih hidup tetapi buktikan dengan tindakan.

3 bulan pertama selepas penubuhan PH adalah tempoh yang kritikal. Adakah PH akan berjaya menenggelamkan Pakatan Rakyat dan sekali gus menguburkannya? Jawapannya di tangan PAS. Mereka perlu menggerakkan Pakatan Rakyat. Adakah PAS akan menjadi parti yang boleh bekerjasama dengan orang lain atau hanya berpuas hati duduk bersendirian?

Pimpinan PAS di Pantai Barat kelihatan lebih cenderung bekerjasama dengan pihak-pihak lain. Malah berdasarkan taburan kaum, mereka perlu bekerjasama. Tetapi persoalannya sekuat manakah suara mereka di dalam PAS? (Samiul Jafri)

Friday, 27 November 2015

SORAKAN GEMURUH UNTUK PAS PADA KONGRES PKR.


Para perwakilan Kongres Nasional PKR hari ini telah memberikan sorakan yang gemuruh apabila nama PAS disebut.

Pada pembukaan kongres itu, nama parti-parti politik yang hadir telah diumumkan.

Para perwakilan telah hanya bertepuk tangan apabila nama-nama DAP, PAN dan PSM disebut. Tetapi apabila nama PAS diumumkan para perwakilan telah memberikan sorakan yang gemuruh.

Seorang veteran PKR secara berseloroh telah bertanya mungkin ramai orang PAS berada di dalam PKR.

Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Mohd. Azmin Ali pula berkata ia adalah sentimen akar umbi parti tersebut.

PAS telah diwakili oleh Naib Presiden, Dato' Iskandar A. Samad dan Setiausaha Agung, Dato' Takiyuddin Hasan pada kongres itu. (Eddy Halim)

ISKANDAR CABAR NOH DI TG KARANG?


Khabar angin bahawa Naib Presiden PAS Iskandar A. Samad akan bertanding di kerusi Parlimen Tg Karang sedang bertiup kencang.

Beliau dikatakan akan mencabar Ahli Parlimen sekarang Noh Omar.

Noh Omar adalah Ketua Perhubungan UMNO Selangor sementara Iskandar adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor selain dari seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Ini bermakna ketua PAS Selangor akan mencabar ketua UMNO Selangor. Sudah tentu ia satu pertandingan yang sengit.

Walaupun Iskandar telah menafikan dakwaan khabar angin tersebut tetapi Noh mungkin tidak dapat tidur lena selepas ini.

Iskandar hanya berkata PAS Selangor belum membuat keputusan lagi. Beliau tidak pula mengatakan bahawa beliau sama sekali tidak akan bertanding di kerusi tersebut.

Sebenarnya Iskandar juga diwar-warkan akan bertanding di Parlimen Kota Raja. Ahli Parlimen di situ Dr Mariah Mahmud telah meninggalkan PAS untuk menyertai PAN.

Ahli-ahli PAS di Kota Raja terutamanya dari kalangan anak muda dikatakan mengalu-alukan Iskandar bertanding di sana.

Tetapi jika Iskandar melawan Noh, iaitu ketua negeri melawan ketua negeri, maka tohmahan PAS hendak  menubuhkan Unity Goverment (Kerajaan Perpaduan) adalah tidak benar sama sekali. (Fakri Yusuf)

JANGAN LAGAKAN PKR DENGAN PAS, AMARAN AZMIN KEPADA DAP.

 

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali memberi amaran kepada sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) serta PAS, agar tidak melaga-lagakan pimpinan parti itu berhubung apa jua isu.

"Ini adalah ketetapan Majlis Pimpinan Pusat yang bersidang pada 11 Oktober lalu yang diperlukan oleh semua anggota parti.

"Kita mahu semua pihak, termasuk rakan-rakan kita menghormati pendirian yang diambil PKR dan jangan melaga-lagakan pimpinan di dalam PKR," katanya dalam ucapan perasmian Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Tahunan Kali ke-11 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pagi Jumaat.

Tegas Azmin meskipun wujud perbezaan pandangan, sama ada DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) serta PAS perlu menghormatinya dan mempertahankan kerjasama itu.

"Budaya di dalam PKR segar... Kita meraikan perbezaan pendapat tetapi sama sekali tidak mengizinkan perpecahan," demikian menurutnya lagi.

Azmin berkata demikian dipercayai merujuk kepada kontroversi lima ADUN PKR Pulau Pinang dituduh Ketua Menterinya, yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sebagai 'bersama' dengan Umno Barisan Nasional (BN), hanya kerana bersikap berkecuali dalam undian usul tambak laut, dinegeri itu.

Guan Eng juga dilaporkan berkata tindakan lima ADUN PKR itu sebagai ada kaitan dengan cubaan rampasan kuasa jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 yang kini disandang Mohd Rashid Hasnon.

Menafikan dakwaan itu, PKR peringkat Pusat meminta DAP Pulau Pinang agar tidak memanjangkan isu tersebut dan menjelaskan kesemua lima ADUN itu sudahpun menjelaskan alasan tidak mengundi dan ia diterima pimpinan parti.

Azmin kemudiannya mengalu-alukan penyertaan Amanah dalam gabungan PH dan dalam masa sama menegaskan tahaluf siyasi dengan PAS masih diteruskan seperti biasa.

"PKR menyambut kelahiran Amanah dan menerima dalam keluarga besar kita, PKR akan meneruskan tahaluf siyasi dengan PAS dan kerjasama dengan PSM serta parti-parti politik di Sabah dan Sarawak dan NGO yang menjuarai hak serta agenda rakyat," kata Azmin.

Sebelum ini PKR Selangor diasak hebat DAP yang mahu parti itu mengiktiraf PH Selangor dan memutuskan kerjasama dengan PAS.

Dalam kongres DAP baru-baru ini, Ketua Pemuda Dapsy Teo Kok Seong melahirkan rasa kesalnya terhadap Azmin yang enggan mengiktiraf Pakatan Harapan di Selangor. (Agenda Daily - 27/11/2015)

Thursday, 26 November 2015

PAS BERSEDIA DENGAN PELAN 100 HARI.


Menurut sumber dalaman, PAS telah menyiapkan pelan 100 hari sekiranya dipaksa keluar dari kerajaan negeri Selangor.

Sumber itu tidak menyebut tindakan-tindakan yang akan dilakukan oleh PAS. Tetapi dengan keahlian di Selangor melebihi 85,000 orang dan hampir 1,000 cawangan sudah tentu sebarang tidak balas dari PAS akan memberi kesan kepada kerajaan negeri tersebut.

Tambahan pula komitmen ahli-ahli PAS adalah begitu tinggi. Walaupun berlaku sedikit kekecohan di dalam parti itu menjelang dan selepas Muktamar di Kuala Selangor PAS tetap teguh. Ahli-ahli tidak meninggalkan PAS seperti yang diharapkan oleh PAN. Malah keahlian dan cawangan PAS di Selangor terus bertambah.

Adalah dijangka ahli-ahli tidak akan berganjak jika PAS disingkir. Sikap ahli-ahli PAS adalah untuk bangkit apabila ditekan.

Diberitakan juga pimpinan PAS Selangor telah mengadakan pertemuan-pertemuan sulit bersama pakar-pakar pentadbiran kerajaan dan perundangan untuk merancang tindakan parti itu jika dipecat dari pentadbiran kerajaan negeri.

Ada juga spekulasi kononnya pertemuan telah juga diadakan bersama bekas pimpinan kerajaan PAS Kelantan semasa PAS disingkirkan melalui pengisytiharan MAGERAN pada tahun 1977.

Sudah tentu nasihat-nasihat yang berguna telah diterima daripada pihak-pihak tersebut. Dengan itu PAS kemungkinan besar telah bersedia dengan apa saja situasi yang timbul di Selangor.

Walau bagaimanapun susah hendak mengagak apakah tindakan PAS pada 100 hari pertama menjadi pembangkang semula. Sama-sama kita tunggu. (Samiul Jafri)

"HARUM MANIS" CIPTAAN SIAPA?


"Harum manis" adalah sejenis buah mangga yang ditanam di negeri Perlis. Tetapi di dalam politik PAS "harum manis" kononnya adalah seorang yang masih berada di dalam PAS tetapi jiwa mereka telah bersama PAN. Atau di luar hijau tetapi di dalam oren. Istilah tersebut menjadi popular sejak beberapa bulan yang lepas.

Walau bagaimanapun ramai yang berpandangan penggunaan istilah itu berupaya memecah belahkan PAS. Ia boleh menimbulkan perasaan curiga mencurigai sesama ahli. Paling parah jika perasaan ini dizahirkan maka akan berlaku tuduh menuduh dan dakwa mendakwa.

Oleh yang demikian istilah "harum manis" ini amat merbahaya kepada PAS. Walaupun sekumpulan ahli telah keluar dari parti itu selepas Muktamar tahun ini namun PAS tetap kukuh. Tetapi jika berlaku label-melabel seperti ini maka PAS perlu berhadapan dengan satu lagi masalah.

Oleh itu siapakah yang sebenarnya mencipta istilah tersebut?

Adakah orang-orang PAN yang mahu melihat PAS kucar -kacir?

PAN memang kecewa setelah gagal menarik ahli-ahli PAS. Jumlah ahli yang dijanjikan akan berhijrah kepada parti tunggangan DAP itu tidak menjadi kenyataan. Walhal PAS semakin teguh dan keahlian PAS pula yang bertambah berkali-kali ganda. Sudah tentu PAS amat dicemburui.

Atau adakah orang-orang PAS yang mahu mencantas saingan-saingan politik mereka?

Ini juga satu kemungkinan kerana pada setiap parti terdapat para opportunis. Walaupun tidak kritikal seperti parti-parti lain dan terkawal tetapi ia tetap boleh memberi kesan. Kemungkinan juga mereka yang mencetuskan kontroversi ini.

Maka pimpinan PAS perlu mengambil tindakan segera. Sama ada sesuatu ancaman itu dari luar atau dari dalam satu tindakan pantas perlu diambil. Budaya label-melabel di kalangan ahli-ahli PAS mesti dihentikan. (Fakri Yusuf)

Tuesday, 24 November 2015

UMNO PATUT "TUTUP KEDAI" DI SELANGOR.


UMNO patut "tutup kedai" di Selangor dan memberi laluan kepada PAS pada pilihan raya umum akan datang.

Adalah satu kenyataan bahawa pertambahan kerusi DUN UMNO di Selangor tidak akan dapat memungkinkan BN membentuk kerajaan di negeri itu. Ini kerana peluang MCA, MIC dan Gerakan untuk memenangi mana-mana kerusi DUN adalah terlalu tipis. Tanpa kerusi-kerusi parti komponen yang lain maka UMNO tidak akan dapat membentuk kerajaan BN di negeri terkaya itu.

Sebaliknya UMNO patut memberi laluan kepada PAS agar kerusi-kerusi parti Islam itu bertambah dan memungkinkan ia menuntut supaya berada di dalam kerajaan yang akan mentadbir negeri tersebut. Tidak ada gunanya kerusi UMNO bertambah atau dikekalkan seperti sedia ada kerana ia akan tetap kekal sebagai pembangkang.

PAS perlu berada di dalam kerajaan agar agenda-agenda Islam parti itu dapat diteruskan dan kepentingan umat Islam dijaga. Juga di dalam keadaan DAP semakin angkuh PAS amat perlu berada di dalam kerajaan di Selangor.


UMNO patut membiarkan PAS menang 15 kerusi DUN yang PAS menang pada pilihan raya umum 2013. Mereka juga patut membiarkan PAS menang di 5 kerusi yang mereka kalahkan PAS. Maka dengan 1 kerusi yang PAS dijangka boleh merampas dari DAP jumlah kerusi DUN PAS akan meningkat kepada 21 kerusi.

Dengan 21 kerusi tidak ada kerajaan yang dapat dibentuk tanpa PAS. Malah PAS boleh membentuk kerajaan sendiri jika mendapat sokongan dari 9 orang lagi ADUN.

Bagaimana pula dengan UMNO? Zaman kegemilangan UMNO di Selangor telah berlalu. Dengan 7 atau 8 ADUN mereka boleh menjadi pembangkang yang kuat dan berkesan. Untuk menjadi "check and balance".

Biarkan PAS memimpin negeri Selangor. Mereka lebih berupaya menjaga kepentingan umat Islam dan memartabatkan Islam di negeri itu. Banyak kemajuan pada agama Islam yang telah dicapai sejak 2008.

Jika UMNO berdegil dan undi Melayu berpecah DAP mungkin akan menjadi kuasa terkuat di negeri tersebut. Jangan salahkan PAS sekiranya ini berlaku tetapi UMNO yang bertanggungjawab menyerahkan nasib umat Islam di Selangor ke tangan DAP. (Samiul Jafri)

Monday, 23 November 2015

JANGKA HAYAT PH DIJANGKA LEBIH PENDEK DARI PR.


Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menjangkakan jangka hayat Pakatan Harapan (PH) lebih pendek dari Pakatan Rakyat (PR). Berdasarkan kepada konflik yang berlaku antara parti-parti komponen dalam PH hari ini, ditambah lagi dengan masalah dalaman di dalam parti masing-masing, dijangkakan paling lama hayat PH boleh bertahan ialah sebaik sahaja selepas PRU 14. Malah PPP tidak menolak, kemungkinan gabungan itu berakhir lebih awal dari PRU 14 juga adalah tinggi, berikutan satu demi satu konflik di kalangan mereka timbul.

Sehingga hari ini, PH masih belum mempunyai keputusan bersama terhadap TPPA walaupun setelah hampir sebulan dokumen perjanjian tersebut didedahkan. DAP dilihat cenderung untuk menyokong TPPA, manakala PKR sehingga hari ini masih berdiam meskipun sebelum ini mereka mahu menunggu sehingga dokumen itu didedahkan. PAN pula, hanya segelintir pimpinan pemudanya kelihatan membantah, manakala pimpinan utamanya masih tunggu dan lihat. PPP melihat kegagalan mereka menentu pendirian dalam isu sebesar ini, mendedahkan kerapuhan PH.

Berbanding dengan PAS, parti ini secara konsisten membantah keras keputusan kerajaan untuk terlibat dengan perundingan TPPA apatah lagi menyertainya kelak. Lebih dari itu, PAS telah memberi komitmen kuat bersama-sama dengan NGOs dan NGIs dalam Kongres Rakyat menentang TPPA. PPP mendapat makluman, Kongres Rakyat sedang merancang satu bantahan secara besar-besaran menjelang perbahasan TPPA dalam sidang khas parlimen yang dijangkakan Januari tahun hadapan. Jelas sekali solidariti Kongres Rakyat dalam isu TPPA ini lebih mantap dari PH.

PPP juga mengunjurkan PH tidak dapat mengulangi kejayaan yang dilakukan oleh PR dalam PRU 13, disebabkan mereka akan kehilangan sokongan pengundi Melayu secara besar-besaran. Mereka juga dijangka tidak dapat meraih sokongan pengundi India, disebabkan tiada tokoh-tokoh besar kaum India di dalam PH hari ini. Selain daripada itu, PH juga diyakini akan menghadapi masalah dalam isu pembahagian kerusi sebelum PRU akan datang. Kesemua faktor ini menjadi penyebab mengapa jangka hayat PH boleh berakhir sebaik sahaja selepas PRU 14.

Pergeseran yang berlaku antara parti-parti komponen PH, seperti mana yang berlaku di DUN Pulau Pinang minggu lepas secara jelas menunjukkan kerapuhan PH. Di masa yang sama, sehingga hari ini pembentukan kerajaan PH di Selangor tidak berjaya, malah Dato Menteri Besar Selangor meskipun didesak kuat dari luar dan dalam lebih selesa untuk sama-sama melibatkan PAS dalam mentadbir negeri. Berdasarkan perkembangan pergeseran dan konflik tersebut, PPP tidak menolak kemungkinan jangka hayat PH boleh berakhir sebelum PRU akan datang.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah
Pusat Penyelidikan PAS

23 November 2015
11 Safar 1437

PAS SELANGOR "BACUL"?


DAP telah mengumumkan akan bertanding di 8 kerusi PAS.

Nama-nama kerusi itu juga telah diumumkan. Chempaka, Seri Serdang, Taman Templer, Tg Sepat, Lembah Jaya, Dusun Tua Meru dan Paya Jaras adalah sasaran mereka.

Pusat Khidmat DAP telah juga dibuka di Taman Templer. Seorang Penyelaras DUN dari bangsa Melayu juga telah dilantik bagi DUN tersebut. Satu tindakan kurang ajar kerana ADUN PAS sekarang adalah seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Tetapi apakah tindak balas PAS? Tidak banyak yang dapat disaksikan.


Di Pandan jentera pilihan raya telah dilancar di DUN Teratai, satu DUN DAP. Di Sg Besar pula PAS telah menganjurkan program Semarak Hijau di DUN Sekinchan, satu lagi DUN DAP. Tetapi setakat itu sahaja.

Kenapa PAS tidak mengumumkan kerusi-kerusi DAP yang akan mereka tandingi? Adakah PAS terlalu takut kepada DAP?

Kita tunggu sebulan lagi. Adakah PAS Selangor jantan atau betina? Sama-sama kita tunggu jawapannya. (Fakri Yusuf)

Sunday, 22 November 2015

MENTERI BESAR DAN EXCO "SAKIT" JIKA PAS PEMBANGKANG.


Berikutan pemecatan 300 JKKK PAS di Pulau Pinang timbul pula desas-desus di Selangor bahawa PAS telah menyiapkan satu perancangan rapi sekiranya mereka terpaksa menjadi pembangkang di negeri itu.

Satu sumber dalaman menyebut PAS bersedia dengan apa sahaja kemungkinan termasuk dipaksa keluar dari kerajaan.

Di antara perancangan tersebut adalah untuk memastikan gerak kerja parti itu dapat berjalan seperti biasa walaupun tanpa Exco, Ahli Majlis, Ketua Kg atau JKKK dari PAS.

Pemimpin-pemimpin PAS negeri itu juga sedang membuat persiapan awal agar PAS tidak ketinggalan pada saingan pilihan raya umum yang akan datang.

Walau bagaimanapun kerajaan negeri tanpa PAS akan menghadapi masalah besar untuk mentadbir negeri itu dengan lancar. Kerajaan tersebut akan berhadapan dengan PAS sebagai pembangkang. Pembangkang yang memiliki bekas-bekas Exco, Ahli Majlis dan Ketua Kg.

Mereka yang pernah menjadi sebahagian dari kerajaan maka memahami tentang selok belok pentadbiran selain dari mempunyai maklumat-maklumat dalaman dan memegang rahsia-rahsia kerajaan.

Maka sudah tentu Menteri Besar dan Exco-Exco yang akan berhadapan dengan PAS sebagai pembangkang akan memikul satu tugas yang amat sukar. Kemungkinan PAS telah memikirkan isu-isu yang akan diletupkan jika mereka tersingkir. (Samiul Jafri)

Saturday, 21 November 2015

KERAJAAN PULAU PINANG SEMAKIN GOYAH?


Sangat menarik untuk diperhatikan apabila 5 ADUN PKR mengambil sikap berkecuali ketika ADUN UMNO Pulau Betong Muhammad Farid Saad mengemukakan usul bahawa semua projek penambakkan tanah di Pulau Pinang perlulah melalui proses bantahan awam sebelum kelulusan diberikan.

Ketua Menteri Pulau Pinang menganggap mereka yang berkecuali ini sebagai "bersama Umno", lalu mendesak Presiden PKR "menilai dengan teliti" keputusan lima ADUN parti itu yang berkecuali.

Sebelum ini Lim Guang Eng sangat lantang mengkritik PAS yang mengambil sikap berkecuali dalam undian kelulusan Bajet 2016 di Parlimen. 

ADUN Penanti daripada PKR pula dalam tangisan meluahkan rasa terkilan dan kekecewaannya terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang dalam sidang DUN kerana tidak menjawab banyak persoalan yang beliau bangkitkan berkaitan pembangunan di DUN Penanti yang berada dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili Presiden PKR.

Usahlah disangka cerah hingga ke petang. Ingatlah juga kebarangkalian hujan di tengahari. Usahlah sombong dan angkuh apabila berkuasa sedang kuasa itu diperolehi bukan hanya dengan dokongan bersendiri.

Adakah ini tanda-tanda awal Pulau Pinang semakin goyah dan bakal terlepas daripada tangan DAP pada PRU ke14 di saat undi ahli-ahli PAS sudah pasti tidak akan dinikmati oleh DAP lagi? - Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

Friday, 20 November 2015

BEZA PULAU PINANG DARI SELANGOR.


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sehari setelah penubuhan Pakatan Harapan telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang adalah kerajaan Pakatan Harapan.

Walhal Menteri Besar Selangor Mohd Azmin Ali telah menegaskan bahawa kerajaan negeri Selangor adalah kerajaan Pakatan Rakyat.

Inilah perbezaan utama di antara Pulau Pinang dan Selangor. Satu Pakatan Harapan dan satu lagi Pakatan Rakyat.

PAS tidak bersama di dalam Pakatan Harapan maka JKKK PAS telah melepaskan jawatan di Pulau Pinang. Walaupun JKKK PAS tidak perlu berundur tetapi sikap Lim Guan Eng yang menyerang PAS bertubi-tubi kali menyulitkan kedudukan JKKK PAS. Akhirnya PAS mengumumkan menjadi pembangkang di Pulau Pinang.

Di Selangor, tidak ada sebab kenapa PAS perlu keluar dari kerajaan. PAS terus menyatakan ia masih bersama Pakatan Rakyat dan kerajaan negeri Selangor adalah kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Bukan orang PAS yang umumkan tetapi Menteri Besar Azmin yang umumkan di dalam Dewan Negeri Selangor. Ada faham? (Fakri Yusuf)

DAP HENDAK KUASAI MALAYSIA BERSENDIRIAN.


Pusat Penyelidikan PAS mendedahkan niat DAP untuk merampas tampuk pentadbiran kerajaan Malaysia daripada kaum Melayu dengan memperkudakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS sewaktu berada dalam Pakatan Rakyat.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, DAP turut merangka strategi tersebut dengan memperkudakan beberapa individu atau tokoh Melayu yang menyertai DAP semasa kewujudan Pakatan Rakyat.

“Semenjak PAS bertahaluf bersama DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini, Pusat Penyelidikan PAS telah menelaah strategi dan unjuran DAP untuk menguasai Malaysia melalui Pakatan Rakyat iaitu dengan memaksimakan kemenangan calon-calon bukan Islam dan meminimakan kemenangan calon-calon Islam.

Pendekatan mereka (DAP) dengan memainkan isu-isu sensitif berkaitan sentimen agama dan kaum, seperti isu kalimah Allah, penolakan dasar-dasar afirmatif seumpama Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan lain-lain. Ketika itu, PAS sentiasa menjadi halangan utama,” dedahnya dalam satu kenyataan semalam.

DAP pada Ogos lalu mengumumkan Pakatan Rakyat telah berkubur dan membentuk satu gabungan baharu parti pembangkang bersama-sama PKR dan Parti Amanah Negara (PAN).

Mohd. Zuhdi dalam pada itu mendedahkan kajian Pusat Penyelidikan PAS mendapati pemimpin DAP kini semakin rakus dan ghairah untuk menawan Putrajaya dengan menunggangi Pakatan Harapan.

Menurutnya, DAP turut menyerang kepentingan masyarakat Islam, tidak menghormati institusi Melayu, memperlekehkan kepimpinan Islam dan mengobarkan sentimen anti Melayu untuk terus melonjakkan sokongan pengundi bukan Islam.

“Bagi mendapat sejumlah kecil sokongan pengundi Islam yang turut penting untuk menawan Putrajaya, DAP mempergunakan PAN dan segelintir PKR untuk menyempurnakan hasrat mereka.

“PPP yakin pengundi Melayu-Islam akan menolak DAP, malah pengundi Cina dan bukan Islam yang lain juga akan menyedari niat kotor DAP ini,” (Sumber : JITNT)

Wednesday, 18 November 2015

DAP BAKAL TUMBANG DI SEKINCHAN JIKA ....


DAP yang menguasai kerusi DUN Sekinchan bakal kecundang jika PAS bertanding di situ.

Terdapat 41 peratus pengundi Melayu di kerusi tersebut dan jika PAS bertanding dan mendapat hampir kesemua undi Melayu maka PAS boleh merampas kerusi itu.

Ini boleh berlaku jika pengundi Cina berpecah dua, sebahagian mengundi calon DAP dan sebahagian mengundi calon Barisan Nasional daripada MCA.

ADUN Sekinchan hari ini adalah Ng Swee Lin yang merupakan "ayam sabung" DAP di dalam Dewan Negeri Selangor. Beliau telah 3 kali memenangi kerusi tersebut. (Samiul Jafri)

Monday, 16 November 2015

PAS JANGAN LARI, FIKIRKAN NASIB UMAT ISLAM.


Ramai terkejut bila ADUN-ADUN PAS menyokong calon-calon Senator PKR dan DAP untuk mewakili negeri Selangor.

Pertama kerana PAS Pusat telah memutuskan hubungan politik dengan DAP oleh itu ADUN-ADUN PAS Selangor seperti membelakangi keputusan tersebut bila memberi sokongan kepada calon DAP.

Kedua, tidakkah PAS teringinkan jawatan Senator setelah hilang seorang Exco apabila Azmin Ali dilantik menjadi Menteri Besar?

Mungkin hanya Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad dan Menteri Besar yang mengetahui apa yang telah berlaku.

Tetapi yang jelas sehari sebelum itu PAN telah datang berjumpa Azmin dan beliau tegas kerajaan negeri Selangor bukan kerajaan Pakatan Harapan, juga PAS tidak akan dikeluarkan dari kerajaan negeri.

Azmin juga menyebut di dalam sidang Dewan Negeri bahawa kerajaan negeri Selangor adalah kerajaan Pakatan Rakyat.

Adakah Azmin dan Iskandar telah mencapai persetujuan? Satu kompromi menang-menang. Sokong calon PKR dan DAP, tiada kerajaan Pakatan Harapan di Selangor.

Walau bagaimanapun yang penting PAS terus berada di dalam kerajaan. Umat Islam di Selangor tentu lega. DAP tidak dapat berbuat sesuka hati. Agenda Islam pula boleh diteruskan. Bayangkan apa akan terjadi tanpa PAS dan DAP boleh bermaharaja lela.

Tetapi seperti biasa mungkin ada suara-suara dari luar Selangor yang tidak puas hati dengan perkembangan tersebut. Seperti biasa ramai yang ingin "tumpang sekaki" apabila terdapat isu-isu Selangor. Mesti ada yang mendesak agar PAS mempertahankan maruahnya walaupun terpaksa meninggalkan kerajaan.

Walau bagaimanapun, adakah ini akan menguntungkan umat Islam di Selangor? Adakah pemimpin PAS hendak mendengar suara-suara dari luar Selangor atau suara umat Islam di akar umbi? Siapa yang lebih memahami tentang kepentingan umat Islam di Selangor? Mungkin bukan pemimpin-pemimpin PAS dari Kelantan dan Terengganu. (Samiul Jafri)

Thursday, 15 October 2015

RATUSAN MASJID AKAN JATUH KE TANGAN UMNO.


Ratusan masjid di Selangor dijangka akan jatuh ke tangan Umno selepas mesyuarat agung pemilihan jawatankuasa mereka akhir tahun ini.

Laporan yang diterima menunjukkan terdapat usaha yang bersungguh daripada pihak UMNO untuk mengambil alih pucuk kepimpinan masjid-masjid itu.

Masjid-masjid melihat pendaftaran mendadak ahli-ahli kariah. Pendaftaran pula dipercayai telah dilakukan oleh pihak yang dikenali cenderung kepada UMNO.

Sementara pendaftaran yang dilakukan oleh pihak PAS kelihatan lembab dan PKR hampir tidak wujud.

Perkara ini berlaku mungkin kerana kesedaran di kalangan ahli kariah yang rendah dan sikap "tidak apa" masyarakat Melayu. Perkara yang sama berlaku pada pendaftaran pengundi oleh SPR. Masyarakat Cina lebih berminat mendaftar dari masyarakat Melayu.

Selepas dikalahkan pada pilihanraya 2008, UMNO telah hilang kawalan ke atas masjid-masjid di Selangor. Akibatnya masjid-masjid itu menjadi lebih aktif kerana dipenuhi dengan pelbagai program dan tidak hanya menjadi tempat menunaikan solat-solat berjemaah.

Tetapi UMNO dijangka akan kembali menguruskan masjid-masjid di Selangor akhir tahun ini. Sudah tentu ianya bukan berita gembira bagi ahli kariah masjid-masjid. (Fakri Yusuf)

Saturday, 10 October 2015

DR HALIMAH DI PULAU KETAM.













Sekitar lawatan YB Dr Halimah Ali, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Selangor merangkap ADUN Selat Kelang ke Pulau Ketam.

Satu sambutan pesta tanglung turut dianjurkan lawatan pada 27 September lepas.

HUBUNGAN PEMUDA PAS DAN AMK AKRAB.



Hubungan di antara Pemuda PAS dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) ternyata akrab apabila telah berlangsung perlawanan futsal persahabatan di antara mereka.

Satu perlawanan futsal telah berlangsung di antara Pemuda PAS Gombak dan AMK Gombak pada 9 Oktober lepas di Kompleks Sukan KSL, Gombak Setia.

Ternyata hubungan yang akrab ini akan dapat membuahkan kerjasama politik yang lebih mantap dan berkesan. (Samiul Jafri)

VETERAN PAS TETAP ISTIQOMAH BERSAMA PAS.



Shah Alam, 10 Oktober - Veteran PAS Selangor hari ini berjanji akan terus istiqomah bersama perjuangan PAS.

Di dalam satu pertemuan veteran-veteran di Shah Alam mereka telah menyatakan hasrat mereka itu.

Malah mereka bertekad akan menjadi salah satu benteng kepada PAS yang menghadapi serangan daripada DAP dan PAN.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Naib Presiden PAS Dato' Iskandar Abdul Samad dan bekas Naib Presiden PAS Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok.

Pimpinan PAS Selangor telah juga hadir pada majlis hari itu.

Ikrar veteran-veteran itu adalah berita buruk bagi PAN yang sedang cuba menarik ahli-ahli PAS kepada mereka.

Untuk memastikan gerak kerja yang berkesan Iskandar telah mengarahkan setiap kawasan melantik penyelaras veteran dan menubuhkan jawatankuasa veteran. (Samiul Jafri)

Friday, 9 October 2015

DAP MENGUGUT KERANA BIMBANG PENGARUH PAS.


Ugutan seorang ADUN DAP dari Selangor, Lau Weng San, bahawa mana-mana pemimpin yang masih mahu bersama bekerjasama dengan PAS akan dihukum oleh rakyat kerana DAP bimbang dengan pengaruh PAS yang semakin meningkat.

Ugutan yang dibuat di dalam blog beliau dilihat ditujukan kepada pemimpin-pemimpin PKR kerana sebahagian besar dari mereka termasuk Menteri Besar Selangor, Mohammed Azmin Ali mahu terus bekerjasama dengan PAS.

DAP sekarang kelihatan cemas apabila program-program PAS dihadiri oleh ribuan dan permohonan untuk menjadi ahli PAS bertambah dengan mendadak.

Contohnya Himpunan Istiqamah Sehingga Kemenangan (PIHAK) di Banting pada 12 September lepas telah dihadiri oleh hampir 10,000 orang.

Selain dari itu PAS Selangor dapat mengumpul hampir 6,000 ahli baru dalam tempoh 3 minggu sahaja.

DAP juga semakin cemas kerana 'proxy' mereka Parti Amanah Negara atau Amanah telah gagal untuk menarik sokongan orang Melayu.

Harapan DAP adalah agar Amanah dapat menggantikan PAS di dalam pakatan politik yang baru. Tetapi Amanah bukan sahaja tidak mendapat tempat di hati orang Melayu malah gagal menarik majoriti ahli-ahli PAS keluar dari PAS.

Tetapi akhirnya parti yang merupakan klon parti PAP Singapura itu paling kecewa apabila PKR enggan menyisihkan PAS. Oleh yang demikian, DAP telah mula mengugut dan menakut-nakut mereka yang mahu bekerjasama dengan PAS.

Dengan perkembangan ini DAP dijangka akan merubah strategi mereka. Matlamat mereka untuk menguasai negara tanpa sebarang pengaruh PAS akan gagal jika keadaan sekarang berterusan. Kemungkinan Amanah akan ditolak ketepi kerana gagal memainkan peranan yang diharapkan oleh pimpinan DAP. (Samiul Jafri)

Wednesday, 30 September 2015

PUJIAN UNTUK SEMUT MERAH.


PENGURUS PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abd Rasid menghamburkan pujian kepada pemainnya apabila berjaya mencuri satu mata walaupun terpaksa berdepan lawan dengan kekurangan seorang pemain dalam tempoh yang panjang.

Baginya, karakter dipamerkan pemain perlu diteruskan untuk terus memburu mata bagi memastikan kedudukan di pentas seterusnya dalam saingan Piala Malaysia terjamin.

"Bukan tugas mudah beraksi hampir 65 minit dengan kekurangan seorang pemain berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM), tetapi saya bersyukur satu mata yang diraih," jelasnya.

Pada perlawanan di Stadium Shah Alam, Semut Merah membuka jaringan seawal minit ke-19 menerusi rembatan jauh pemain import dari Argentina, Gabriel Miguel Guerra untuk menewaskan penjaga gol PDRM, Badrulzaman Abdul Halim.

Namun, kegembiraan pelawat sedikit terganggu apabila terpaksa beraksi 10 pemain pada m-30 selepas pertahanan, Abdul Ghani Rahman dilayangkan kad merah oleh pengadil, Zulkifli Ahmad kerana menampan bola dengan tangan di depan pintu gol seterusnya membolehkan PDRM dihadiahkan sepakan penalti.

Bagaimanapun, tuan rumah gagal menyamakan kedudukan apabila sepakan penalti penyerang import dari Mali, Dramane Traore ditepis keluar penjaga gawang Semut Merah, G Jeevanathan sebelum Ali Ashfaq menjaringkan gol penyamaan m-51. (Sinar Harian)

SEJAUH MANA BAHAYA JEREBU?


Tidak ramai yang tahu apa itu jerebu dan bahananya. SHUHADA MANSOR dari MyMetro berkongsi maklumat untuk mewujudkan kesedaran kesan pencemaran ini kepada tubuh kita.

Kebanyakan kita mungkin sudah lupa apa itu jerebu dan kesannya kepada tubuh badan. Jika kita berada di bangku sekolah, pendedahan terperinci diberikan guru selain pelbagai alternatif digunakan untuk menjaga kesihatan.

Kita, generasi muda dilihat paling ramai tidak memandang serius penjagaan kesihatan ketika negara menghadapi fenomena ini. Sama ada penunggang motosikal tidak memakai penutup hidung (mask) hinggalah anda yang tetap melakukan aktiviti luar meskipun keadaan udara semakin teruk.

BUKAN FENOMENA LUAR BIASA

Ketika ini, Malaysia dan negara serantau sekali lagi dilanda pencemaran udara atau jerebu dengan teruk sekali. Isu ini ibarat perkara rutin yang muncul setiap tahun tanpa dapat dikawal mahupun dikurangkan.

Mungkin disebabkan ia berlaku secara kerap, kita seakan-akan endah tak endah mengenai hal ini.

APA ITU JEREBU?

Bagi yang malas untuk mengambil tahu perihal semasa, mungkin tidak mengetahui pengertian jerebu dan kandungannya.

Seperti dijelaskan dalam portal Kementerian Kesihatan, jerebu adalah keadaan kualiti udara tidak baik. Ini kerana kehadiran partikel (opalescent) di atmosfera mengurangkan jarak penglihatan.

Situasi ini disebabkan pencampuran konsentrasi bahan pencemar udara yang tinggi yang dilepaskan merata-rata dan menyerap sinaran matahari di atmosfera.

Bahan pencemaran yang memberi kesan kepada kesihatan ketika jerebu termasuk bahan partikel yang berukuran kurang daripada 10mm/m3 diameter

Ozon, gas karbon monoksida, gas nitrogen dioksida dan sulfur dioksida.

SKALA KUALITI UDARA

Berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang digunakan di seluruh dunia, terdapat enam tahap yang diklasifikasikan pencemaran udara. Ia bermula dari tahap baik iaitu 0 hingga 50 hinggalah ke tahap bahaya iaitu melebihi bacaan 300.

YANG KITA TAK SEDAR

SESAK NAFAS - Bukanlah perkara biasa jika kita sesak nafas secara tiba-tiba. Kesukaran bernafas ini disebabkan molekul yang terdapat pada udara terkandung gas beracun yang tidak elok disedut manusia.

Lebih membimbangkan apabila penghidap asma, radang paru-paru lebih berisiko tinggi terdedah kepada masalah sesak nafas.

HIDUNG BERAIR - Hidung adalah saluran utama pernafasan. Namun jika terlalu banyak udara berbahaya disedut ketika jerebu, ia dikhuatiri akan mengakibatkan hidung tidak mampu menapis udara beracun.

Hal ini seterusnya menyebabkan hidung berair seperti selesema dan juga bersin yang kerap.

PENYAKIT LAIN - Terdapat pelbagai jenis penyakit yang berisiko terdedah kepada sesiapa yang terdedah kepada jerebu iaitu:

saja antaranya terasa gatal di bahagian kerongkong, batuk. kulit terasa gatal, mata gatal dan sakit dada.

TIP PENCEGAHAN

Banyak portal dan tip kesihatan dikongsikan media cetak dan media elektronik. Paling utama, kurangkan aktiviti luar. Sekiranya anda seorang yang aktif dan melakukan rutin bersukan di luar setiap hari, apa kata cuba lakukannya di rumah dan cari senaman terbaik demi kesihatan anda.

Sentiasa gunakan topeng pernafasan apabila keluar rumah. Sebaiknya, kurang­kan merokok kerana asap rokok dan udara yang disedut akan memburukkan lagi tahap kesihatan.

Banyakkan minum air sekurang-kuranya dua liter sehari dan selalulah membasuh tangan dan muka selepas melakukan aktiviti luar.

Jika simptom buruk berlarutan, dapatkan nasihat perubahan supaya anda dapat jalani rutin harian seperti biasa.

PENANGAN MAGGI KETAM POWER.

Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my

Pasti ramai yang tidak percaya atau menjangka gabungan mi segera maggi dan ketam mampu memikat selera apabila digabungkan bersama-sama.

Bagi yang belum mencuba atau tidak yakin dengan menu itu, pastikan anda cuba dan menikmati resipi rahsia disediakan pemilik Restoran Maggi Ketam Power di Puchong, Selangor.

Pemiliknya, Norfazilah Jusoh, 36, berkata, menu maggi ketam power menggunakan pes yang dicipta sendiri selepas mencuba beberapa bulan.

“Saya mencuba berkali-kali untuk mendapatkan pes yang terbaik bagi memastikan pelanggan menikmati hidangan yang lazat,” katanya.

Ketika penulis mencuba maggi ketam power, baru-baru ini, rasanya memang lain, ditambah dengan ketam segar yang dimasak bersama kuah yang me­nyelerakan.

Berbeza dengan maggi ketam lain yang penulis cuba, kuahnya pekat dan menghasilkan rasa yang unik dan sedap.

Rasanya pedas diselang-seli dengan rasa masin manis cukup menyelerakan dan perahan limau kasturi melengkapkan hidangan itu.

Antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan pes kuah itu ialah bawang putih, bawang merah, halia, serai, cili dan udang kering.

Selain maggi ketam yang menjadi pilihan pelanggan, Restoran Maggi Ketam Power turut terkenal dengan maggi udang galah dan terbaru, maggi gearbox.


Ketiga-tiga menu itu menggunakan pes yang sama dan hanya berbeza daripada jenis protein yang digunakan.

Dia yang mengusahakan restoran itu bersama suaminya, Mohd Azmanizam Bahruddin berkata, selain maggi terdapat hida­ngan nasi goreng ketam dan udang galah.

Dia tidak menyangka sambutan pelanggan di luar dugaan walaupun minggu pertama restoran itu dibuka.

“Bagi harga promosi untuk hidangan maggi ketam power ialah RM14 semang­kuk dan kami menyediakan pengetuk serta penyepit bagi memudahkan pelanggan,” katanya.

Restoran Maggi Ketam Power turut menerima tempahan katering untuk pelbagai jenis hidangan.

Beroperasi pada jam 4 petang hingga 2 pagi, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut di Facebook Nor Fazilah atau terus ke restoran itu di 234 Jalan Jurutera, Kampung Sri Aman Luar, Batu 13, Puchong, Selangor.

Sunday, 27 September 2015

DAP PARTI TERKUAT SELEPAS PRU14.


DAP dijangka akan menjadi parti terkuat di Selangor selepas pilihan raya umum akan datang (PRU14).

Satu kajian meramalkan parti itu akan meraih 18 kerusi ADUN berbanding dengan 15 kerusi ADUN pada pilihanraya umum 2013 (PRU13).

Pakatan Harapan dijangka akan dapat meraih undi bukan Melayu tetapi gagal mendapat sokongan orang Melayu.

Orang Melayu dijangka akan mengundi secara taktikal. Mereka akan meninggalkan UMNO akibat pelbagai masalah yang melanda parti tersebut dan pimpinan mereka. Sebaliknya mereka akan mengalihkan sokongan kepada PAS kerana parti itu berjaya mempertahankan prinsip mereka walaupun diasak oleh DAP and Amanah.

Walau bagaimana pun ia tidak semudah itu. Apabila berlaku pertembungan di antara UMNO dan PAS, orang Melayu akan menyokong PAS. Tetapi apabila berlaku pertembungan di antara UMNO dan Pakatan Harapan (PKR dan Amanah), orang Melayu akan kekal bersama UMNO.

PKR pula diramal akan kehilangan lebih separuh dari 9 kerusi majoriti Melayu yang dimenangi pada PRU13.

PAS pula dijangka akan berhadapan pertandingan 3 penjuru di semua kerusi mereka dengan DAP dan Amanah bertanding di kerusi-kerusi itu.

DAP dijangka bertanding pada 5 kerusi PRU13 PAS dan berupaya memenangi lebih separuh dari kerusi-kerusi tersebut kerana undi Melayu akan berpecah di antara PAS dan UMNO.

Amanah pula bernasib baik jika boleh memenangi 1 kerusi.

Kajian itu menjangka parti-parti yang akan bertanding pada PRU14 adalah seperti berikut,

PKR - 21 kerusi seperti PRU13.

DAP - 20 kerusi (15 kerusi PRU13 dan 5 kerusi 3 penjuru pada kerusi PRU13 PAS)

Amanah - 15 kerusi (3 penjuru pada kerusi PRU13 PAS)

PAS - 20 kerusi seperti PRU13.

Parti Sosialis - 2 kerusi (Semenyih dan Kota Damansara)

BN - 56 kerusi

Sementara keputusan PRU14 adalah diramal seperti berikut,

PKR - 9 kerusi (5 kerusi majoriti bukan Melayu PRU13 kekal, 4 kerusi majoriti Melayu PRU13 kekal, 5 kerusi majoriti Melayu PRU13 hilang kepada UMNO)

DAP - 18 kerusi (15 kerusi PRU13 kekal, 3 kerusi PRU13 PAS berjaya dirampas)

Amanah - 1 kerusi PRU13 PAS berjaya dirampas.

PAS - 16 kerusi (11 kerusi PRU13 kekal, 5 kerusi PRU13 UMNO berjaya dirampas, 3 kerusi PRU13 hilang kepada DAP dan 1 kerusi PRU13 hilang kepada Amanah)

UMNO - 12 kerusi (7 kerusi PRU13 kekal, 5 kerusi PRU13 PKR berjaya dirampas, 5 kerusi PRU13 hilang kepada PAS)

Parti Sosialis - Tiada kerusi.

Ini bermakna Pakatan Harapan akan mendapat 28 kerusi, PAS 16 kerusi dan UMNO 12 kerusi.

Pakatan Harapan akan menuntut kerusi Menteri Besar dan membentuk kerajaan kerana memiliki bilangan ADUN paling ramai walaupun tidak mendapat majoriti. Pakatan Harapan hanya berjaya memenangi separuh kerusi ADUN kerana keseluruhannya terdapat 56 kerusi ADUN.

Susah hendak diramalkan siapa yang DYMM Sultan Selangor akan memilih untuk menjadi Menteri Besar. Tetapi kajian juga meramalkan DAP akan bersiap sedia dengan ADUN-ADUN berbangsa Melayu sebagai calon Menteri Besar.

Walau bagaimana pun adalah dijangka akan mengambil masa berminggu-minggu sebelum sebuah kerajaan dibentuk di Selangor.

Friday, 25 September 2015

KORBAN PeBT MDKS DI TG. KARANG BERJAYA.











Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) telah menganjurkan program Kembara Amal Aidil Adha & Jejak Fakir 4.0 Tanjong Karang semalam.