Sunday, 6 December 2015

HARAKAH BAKAL DIBOIKOT LAGI.


Harakah, akhbar rasmi PAS bakal diboikot lagi berikutan rasa tidak puas hati ahli-ahli kerana ia memberikan publisiti kepada pemimpin-pemimpin tertentu sahaja.

Sebelum Muktamar di Kuala Selangor jualan akhbar tersebut telah jatuh menjunam kerana dilihat hanya memberi ruang kepada sekelompok kecil pemimpin PAS.

Apabila berlaku pertukaran pentadbiran selepas Muktamar tersebut ramai berharap satu perubahan besar akan berlaku kepada Harakah.

Memang benar kelompok pemimpin dahulu tidak lagi menguasai ruang-ruang di akhbar itu namun mereka telah digantikan oleh satu kelompok pemimpin yang baru.

Mereka hari ini mendapat tempat utama di dalam hampir setiap keluaran Harakah malah terdapat pemimpin-pemimpin tertinggi PAS yang hanya mengisi ruang-ruang sampingan sahaja.

Perkembangan ini dapat dikesan oleh ahli-ahli dan ada yang telah menyuarakan kebimbangan mereka kepada Presiden PAS sendiri.

Harakah perlu menjadi lebih inklusif. Ia milik parti bukan milik kelompok pemimpin tertentu. Jika penyakit lama muncul kembali ahli-ahli akan sekali lagi menolak Harakah. Sudah tentu ini tidak baik untuk PAS kerana Harakah adalah di antara penyumbang dana terbesar kepada parti tersebut.

Oleh itu Harakah perlu dilihat sebagai akhbar resmi PAS yang sebenar. Memberikan ruang-ruang utama kepada pemimpin-pemimpin tertinggi dan bukan kepada "kroni-kroni" tertentu sahaja.

Harakah juga mesti adil. Setiap negeri dan kawasan mestilah diberi peluang. Jangan tertumpu kepada negeri atau kawasan tertentu sahaja. (Samiul Jafri)

No comments:

Post a Comment