Monday, 30 November 2015

PAS "GILA TALAK".


PAS perlu lebih serius di dalam menghadapi cabaran-cabaran baru di Selangor kerana terdapat 2 situasi baru yang PAS perlu tangani tetapi tidak kelihatan mereka melakukan sesuatu yang serius.

Situasi pertama adalah keputusan DAP untuk bertanding di 8 kerusi PAS. Tetapi tindakbalas yang bersungguh-sungguh dari PAS tidak kelihatan sehingga hari ini. Paling kurang PAS boleh melakukan 2 perkara.

PAS boleh melakukan perkara yang sama ke atas DAP dengan mengumumkan kerusi-kerusi DAP yang PAS akan tandingi. Tetapi ini tidak berlaku. Adakah PAS terlampau takut kepada DAP atau masih mengharapkan sesuatu dari DAP seperti orang gila talak?

Atau sekurang-kurangnya melancarkan satu gerak kerja besar-besaran untuk mempertahankan 8 kerusi tersebut. Tetapi rakyat tidak nampak ini berlaku. Malah terdapat ADUN PAS yang sibuk menjelajah ke luar Selangor ketika kerusi mereka diancam.

Situasi kedua adalah sokongan yang diberikan oleh YAB Mohd Azmin Ali terhadap PAS walaupun dibantah DAP dan PAN.

Dengan sokongan yang diberikan beliau PAS sepatutnya menyambutnya dengan mengadakan lebih banyak program-program bersama PKR. Tetapi hari ini rakyat hanya melihat kerjasama di kalangan parti-parti PH. Tetapi di manakah program-program Pakatan Rakyat jika ia masih wujud?

PKR berada di dalam PH. Hanya sebahagian dari pimpinan PKR mahu bersama PAS. Maka tugas untuk menghidupkan Pakatan Rakyat adalah di tangan PAS. Jangan hanya berwirid Pakatan Rakyat masih hidup tetapi buktikan dengan tindakan.

3 bulan pertama selepas penubuhan PH adalah tempoh yang kritikal. Adakah PH akan berjaya menenggelamkan Pakatan Rakyat dan sekali gus menguburkannya? Jawapannya di tangan PAS. Mereka perlu menggerakkan Pakatan Rakyat. Adakah PAS akan menjadi parti yang boleh bekerjasama dengan orang lain atau hanya berpuas hati duduk bersendirian?

Pimpinan PAS di Pantai Barat kelihatan lebih cenderung bekerjasama dengan pihak-pihak lain. Malah berdasarkan taburan kaum, mereka perlu bekerjasama. Tetapi persoalannya sekuat manakah suara mereka di dalam PAS? (Samiul Jafri)

No comments:

Post a Comment