Monday, 16 November 2015

PAS JANGAN LARI, FIKIRKAN NASIB UMAT ISLAM.


Ramai terkejut bila ADUN-ADUN PAS menyokong calon-calon Senator PKR dan DAP untuk mewakili negeri Selangor.

Pertama kerana PAS Pusat telah memutuskan hubungan politik dengan DAP oleh itu ADUN-ADUN PAS Selangor seperti membelakangi keputusan tersebut bila memberi sokongan kepada calon DAP.

Kedua, tidakkah PAS teringinkan jawatan Senator setelah hilang seorang Exco apabila Azmin Ali dilantik menjadi Menteri Besar?

Mungkin hanya Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad dan Menteri Besar yang mengetahui apa yang telah berlaku.

Tetapi yang jelas sehari sebelum itu PAN telah datang berjumpa Azmin dan beliau tegas kerajaan negeri Selangor bukan kerajaan Pakatan Harapan, juga PAS tidak akan dikeluarkan dari kerajaan negeri.

Azmin juga menyebut di dalam sidang Dewan Negeri bahawa kerajaan negeri Selangor adalah kerajaan Pakatan Rakyat.

Adakah Azmin dan Iskandar telah mencapai persetujuan? Satu kompromi menang-menang. Sokong calon PKR dan DAP, tiada kerajaan Pakatan Harapan di Selangor.

Walau bagaimanapun yang penting PAS terus berada di dalam kerajaan. Umat Islam di Selangor tentu lega. DAP tidak dapat berbuat sesuka hati. Agenda Islam pula boleh diteruskan. Bayangkan apa akan terjadi tanpa PAS dan DAP boleh bermaharaja lela.

Tetapi seperti biasa mungkin ada suara-suara dari luar Selangor yang tidak puas hati dengan perkembangan tersebut. Seperti biasa ramai yang ingin "tumpang sekaki" apabila terdapat isu-isu Selangor. Mesti ada yang mendesak agar PAS mempertahankan maruahnya walaupun terpaksa meninggalkan kerajaan.

Walau bagaimanapun, adakah ini akan menguntungkan umat Islam di Selangor? Adakah pemimpin PAS hendak mendengar suara-suara dari luar Selangor atau suara umat Islam di akar umbi? Siapa yang lebih memahami tentang kepentingan umat Islam di Selangor? Mungkin bukan pemimpin-pemimpin PAS dari Kelantan dan Terengganu. (Samiul Jafri)

No comments:

Post a Comment