Monday, 30 November 2015
PAS "GILA TALAK".
PAS perlu lebih serius di dalam menghadapi cabaran-cabaran baru di Selangor kerana terdapat 2 situasi baru yang PAS perlu tangani tetapi tidak kelihatan mereka melakukan sesuatu yang serius.
Situasi pertama adalah keputusan DAP untuk bertanding di 8 kerusi PAS. Tetapi tindakbalas yang bersungguh-sungguh dari PAS tidak kelihatan sehingga hari ini. Paling kurang PAS boleh melakukan 2 perkara.
PAS boleh melakukan perkara yang sama ke atas DAP dengan mengumumkan kerusi-kerusi DAP yang PAS akan tandingi. Tetapi ini tidak berlaku. Adakah PAS terlampau takut kepada DAP atau masih mengharapkan sesuatu dari DAP seperti orang gila talak?
Atau sekurang-kurangnya melancarkan satu gerak kerja besar-besaran untuk mempertahankan 8 kerusi tersebut. Tetapi rakyat tidak nampak ini berlaku. Malah terdapat ADUN PAS yang sibuk menjelajah ke luar Selangor ketika kerusi mereka diancam.
Situasi kedua adalah sokongan yang diberikan oleh YAB Mohd Azmin Ali terhadap PAS walaupun dibantah DAP dan PAN.
Dengan sokongan yang diberikan beliau PAS sepatutnya menyambutnya dengan mengadakan lebih banyak program-program bersama PKR. Tetapi hari ini rakyat hanya melihat kerjasama di kalangan parti-parti PH. Tetapi di manakah program-program Pakatan Rakyat jika ia masih wujud?
PKR berada di dalam PH. Hanya sebahagian dari pimpinan PKR mahu bersama PAS. Maka tugas untuk menghidupkan Pakatan Rakyat adalah di tangan PAS. Jangan hanya berwirid Pakatan Rakyat masih hidup tetapi buktikan dengan tindakan.
3 bulan pertama selepas penubuhan PH adalah tempoh yang kritikal. Adakah PH akan berjaya menenggelamkan Pakatan Rakyat dan sekali gus menguburkannya? Jawapannya di tangan PAS. Mereka perlu menggerakkan Pakatan Rakyat. Adakah PAS akan menjadi parti yang boleh bekerjasama dengan orang lain atau hanya berpuas hati duduk bersendirian?
Pimpinan PAS di Pantai Barat kelihatan lebih cenderung bekerjasama dengan pihak-pihak lain. Malah berdasarkan taburan kaum, mereka perlu bekerjasama. Tetapi persoalannya sekuat manakah suara mereka di dalam PAS? (Samiul Jafri)
Friday, 27 November 2015
SORAKAN GEMURUH UNTUK PAS PADA KONGRES PKR.
Para perwakilan Kongres Nasional PKR hari ini telah memberikan sorakan yang gemuruh apabila nama PAS disebut.
Pada pembukaan kongres itu, nama parti-parti politik yang hadir telah diumumkan.
Para perwakilan telah hanya bertepuk tangan apabila nama-nama DAP, PAN dan PSM disebut. Tetapi apabila nama PAS diumumkan para perwakilan telah memberikan sorakan yang gemuruh.
Seorang veteran PKR secara berseloroh telah bertanya mungkin ramai orang PAS berada di dalam PKR.
Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Mohd. Azmin Ali pula berkata ia adalah sentimen akar umbi parti tersebut.
PAS telah diwakili oleh Naib Presiden, Dato' Iskandar A. Samad dan Setiausaha Agung, Dato' Takiyuddin Hasan pada kongres itu. (Eddy Halim)
ISKANDAR CABAR NOH DI TG KARANG?
Khabar angin bahawa Naib Presiden PAS Iskandar A. Samad akan bertanding di kerusi Parlimen Tg Karang sedang bertiup kencang.
Beliau dikatakan akan mencabar Ahli Parlimen sekarang Noh Omar.
Noh Omar adalah Ketua Perhubungan UMNO Selangor sementara Iskandar adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor selain dari seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Ini bermakna ketua PAS Selangor akan mencabar ketua UMNO Selangor. Sudah tentu ia satu pertandingan yang sengit.
Walaupun Iskandar telah menafikan dakwaan khabar angin tersebut tetapi Noh mungkin tidak dapat tidur lena selepas ini.
Iskandar hanya berkata PAS Selangor belum membuat keputusan lagi. Beliau tidak pula mengatakan bahawa beliau sama sekali tidak akan bertanding di kerusi tersebut.
Sebenarnya Iskandar juga diwar-warkan akan bertanding di Parlimen Kota Raja. Ahli Parlimen di situ Dr Mariah Mahmud telah meninggalkan PAS untuk menyertai PAN.
Ahli-ahli PAS di Kota Raja terutamanya dari kalangan anak muda dikatakan mengalu-alukan Iskandar bertanding di sana.
Tetapi jika Iskandar melawan Noh, iaitu ketua negeri melawan ketua negeri, maka tohmahan PAS hendak menubuhkan Unity Goverment (Kerajaan Perpaduan) adalah tidak benar sama sekali. (Fakri Yusuf)
JANGAN LAGAKAN PKR DENGAN PAS, AMARAN AZMIN KEPADA DAP.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali memberi amaran kepada sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) serta PAS, agar tidak melaga-lagakan pimpinan parti itu berhubung apa jua isu.
"Ini adalah ketetapan Majlis Pimpinan Pusat yang bersidang pada 11 Oktober lalu yang diperlukan oleh semua anggota parti.
"Kita mahu semua pihak, termasuk rakan-rakan kita menghormati pendirian yang diambil PKR dan jangan melaga-lagakan pimpinan di dalam PKR," katanya dalam ucapan perasmian Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Tahunan Kali ke-11 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pagi Jumaat.
Tegas Azmin meskipun wujud perbezaan pandangan, sama ada DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) serta PAS perlu menghormatinya dan mempertahankan kerjasama itu.
"Budaya di dalam PKR segar... Kita meraikan perbezaan pendapat tetapi sama sekali tidak mengizinkan perpecahan," demikian menurutnya lagi.
Azmin berkata demikian dipercayai merujuk kepada kontroversi lima ADUN PKR Pulau Pinang dituduh Ketua Menterinya, yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sebagai 'bersama' dengan Umno Barisan Nasional (BN), hanya kerana bersikap berkecuali dalam undian usul tambak laut, dinegeri itu.
Guan Eng juga dilaporkan berkata tindakan lima ADUN PKR itu sebagai ada kaitan dengan cubaan rampasan kuasa jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 yang kini disandang Mohd Rashid Hasnon.
Menafikan dakwaan itu, PKR peringkat Pusat meminta DAP Pulau Pinang agar tidak memanjangkan isu tersebut dan menjelaskan kesemua lima ADUN itu sudahpun menjelaskan alasan tidak mengundi dan ia diterima pimpinan parti.
Azmin kemudiannya mengalu-alukan penyertaan Amanah dalam gabungan PH dan dalam masa sama menegaskan tahaluf siyasi dengan PAS masih diteruskan seperti biasa.
"PKR menyambut kelahiran Amanah dan menerima dalam keluarga besar kita, PKR akan meneruskan tahaluf siyasi dengan PAS dan kerjasama dengan PSM serta parti-parti politik di Sabah dan Sarawak dan NGO yang menjuarai hak serta agenda rakyat," kata Azmin.
Sebelum ini PKR Selangor diasak hebat DAP yang mahu parti itu mengiktiraf PH Selangor dan memutuskan kerjasama dengan PAS.
Dalam kongres DAP baru-baru ini, Ketua Pemuda Dapsy Teo Kok Seong melahirkan rasa kesalnya terhadap Azmin yang enggan mengiktiraf Pakatan Harapan di Selangor. (Agenda Daily - 27/11/2015)
Thursday, 26 November 2015
PAS BERSEDIA DENGAN PELAN 100 HARI.
Sumber itu tidak menyebut tindakan-tindakan yang akan dilakukan oleh PAS. Tetapi dengan keahlian di Selangor melebihi 85,000 orang dan hampir 1,000 cawangan sudah tentu sebarang tidak balas dari PAS akan memberi kesan kepada kerajaan negeri tersebut.
Tambahan pula komitmen ahli-ahli PAS adalah begitu tinggi. Walaupun berlaku sedikit kekecohan di dalam parti itu menjelang dan selepas Muktamar di Kuala Selangor PAS tetap teguh. Ahli-ahli tidak meninggalkan PAS seperti yang diharapkan oleh PAN. Malah keahlian dan cawangan PAS di Selangor terus bertambah.
Adalah dijangka ahli-ahli tidak akan berganjak jika PAS disingkir. Sikap ahli-ahli PAS adalah untuk bangkit apabila ditekan.
Diberitakan juga pimpinan PAS Selangor telah mengadakan pertemuan-pertemuan sulit bersama pakar-pakar pentadbiran kerajaan dan perundangan untuk merancang tindakan parti itu jika dipecat dari pentadbiran kerajaan negeri.
Ada juga spekulasi kononnya pertemuan telah juga diadakan bersama bekas pimpinan kerajaan PAS Kelantan semasa PAS disingkirkan melalui pengisytiharan MAGERAN pada tahun 1977.
Sudah tentu nasihat-nasihat yang berguna telah diterima daripada pihak-pihak tersebut. Dengan itu PAS kemungkinan besar telah bersedia dengan apa saja situasi yang timbul di Selangor.
Walau bagaimanapun susah hendak mengagak apakah tindakan PAS pada 100 hari pertama menjadi pembangkang semula. Sama-sama kita tunggu. (Samiul Jafri)
"HARUM MANIS" CIPTAAN SIAPA?
"Harum manis" adalah sejenis buah mangga yang ditanam di negeri Perlis. Tetapi di dalam politik PAS "harum manis" kononnya adalah seorang yang masih berada di dalam PAS tetapi jiwa mereka telah bersama PAN. Atau di luar hijau tetapi di dalam oren. Istilah tersebut menjadi popular sejak beberapa bulan yang lepas.
Walau bagaimanapun ramai yang berpandangan penggunaan istilah itu berupaya memecah belahkan PAS. Ia boleh menimbulkan perasaan curiga mencurigai sesama ahli. Paling parah jika perasaan ini dizahirkan maka akan berlaku tuduh menuduh dan dakwa mendakwa.
Oleh yang demikian istilah "harum manis" ini amat merbahaya kepada PAS. Walaupun sekumpulan ahli telah keluar dari parti itu selepas Muktamar tahun ini namun PAS tetap kukuh. Tetapi jika berlaku label-melabel seperti ini maka PAS perlu berhadapan dengan satu lagi masalah.
Oleh itu siapakah yang sebenarnya mencipta istilah tersebut?
Adakah orang-orang PAN yang mahu melihat PAS kucar -kacir?
PAN memang kecewa setelah gagal menarik ahli-ahli PAS. Jumlah ahli yang dijanjikan akan berhijrah kepada parti tunggangan DAP itu tidak menjadi kenyataan. Walhal PAS semakin teguh dan keahlian PAS pula yang bertambah berkali-kali ganda. Sudah tentu PAS amat dicemburui.
Atau adakah orang-orang PAS yang mahu mencantas saingan-saingan politik mereka?
Ini juga satu kemungkinan kerana pada setiap parti terdapat para opportunis. Walaupun tidak kritikal seperti parti-parti lain dan terkawal tetapi ia tetap boleh memberi kesan. Kemungkinan juga mereka yang mencetuskan kontroversi ini.
Maka pimpinan PAS perlu mengambil tindakan segera. Sama ada sesuatu ancaman itu dari luar atau dari dalam satu tindakan pantas perlu diambil. Budaya label-melabel di kalangan ahli-ahli PAS mesti dihentikan. (Fakri Yusuf)
Tuesday, 24 November 2015
UMNO PATUT "TUTUP KEDAI" DI SELANGOR.
UMNO patut "tutup kedai" di Selangor dan memberi laluan kepada PAS pada pilihan raya umum akan datang.
Adalah satu kenyataan bahawa pertambahan kerusi DUN UMNO di Selangor tidak akan dapat memungkinkan BN membentuk kerajaan di negeri itu. Ini kerana peluang MCA, MIC dan Gerakan untuk memenangi mana-mana kerusi DUN adalah terlalu tipis. Tanpa kerusi-kerusi parti komponen yang lain maka UMNO tidak akan dapat membentuk kerajaan BN di negeri terkaya itu.
Sebaliknya UMNO patut memberi laluan kepada PAS agar kerusi-kerusi parti Islam itu bertambah dan memungkinkan ia menuntut supaya berada di dalam kerajaan yang akan mentadbir negeri tersebut. Tidak ada gunanya kerusi UMNO bertambah atau dikekalkan seperti sedia ada kerana ia akan tetap kekal sebagai pembangkang.
PAS perlu berada di dalam kerajaan agar agenda-agenda Islam parti itu dapat diteruskan dan kepentingan umat Islam dijaga. Juga di dalam keadaan DAP semakin angkuh PAS amat perlu berada di dalam kerajaan di Selangor.
UMNO patut membiarkan PAS menang 15 kerusi DUN yang PAS menang pada pilihan raya umum 2013. Mereka juga patut membiarkan PAS menang di 5 kerusi yang mereka kalahkan PAS. Maka dengan 1 kerusi yang PAS dijangka boleh merampas dari DAP jumlah kerusi DUN PAS akan meningkat kepada 21 kerusi.
Dengan 21 kerusi tidak ada kerajaan yang dapat dibentuk tanpa PAS. Malah PAS boleh membentuk kerajaan sendiri jika mendapat sokongan dari 9 orang lagi ADUN.
Bagaimana pula dengan UMNO? Zaman kegemilangan UMNO di Selangor telah berlalu. Dengan 7 atau 8 ADUN mereka boleh menjadi pembangkang yang kuat dan berkesan. Untuk menjadi "check and balance".
Biarkan PAS memimpin negeri Selangor. Mereka lebih berupaya menjaga kepentingan umat Islam dan memartabatkan Islam di negeri itu. Banyak kemajuan pada agama Islam yang telah dicapai sejak 2008.
Jika UMNO berdegil dan undi Melayu berpecah DAP mungkin akan menjadi kuasa terkuat di negeri tersebut. Jangan salahkan PAS sekiranya ini berlaku tetapi UMNO yang bertanggungjawab menyerahkan nasib umat Islam di Selangor ke tangan DAP. (Samiul Jafri)
Monday, 23 November 2015
JANGKA HAYAT PH DIJANGKA LEBIH PENDEK DARI PR.
Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menjangkakan jangka hayat Pakatan Harapan (PH) lebih pendek dari Pakatan Rakyat (PR). Berdasarkan kepada konflik yang berlaku antara parti-parti komponen dalam PH hari ini, ditambah lagi dengan masalah dalaman di dalam parti masing-masing, dijangkakan paling lama hayat PH boleh bertahan ialah sebaik sahaja selepas PRU 14. Malah PPP tidak menolak, kemungkinan gabungan itu berakhir lebih awal dari PRU 14 juga adalah tinggi, berikutan satu demi satu konflik di kalangan mereka timbul.
Sehingga hari ini, PH masih belum mempunyai keputusan bersama terhadap TPPA walaupun setelah hampir sebulan dokumen perjanjian tersebut didedahkan. DAP dilihat cenderung untuk menyokong TPPA, manakala PKR sehingga hari ini masih berdiam meskipun sebelum ini mereka mahu menunggu sehingga dokumen itu didedahkan. PAN pula, hanya segelintir pimpinan pemudanya kelihatan membantah, manakala pimpinan utamanya masih tunggu dan lihat. PPP melihat kegagalan mereka menentu pendirian dalam isu sebesar ini, mendedahkan kerapuhan PH.
Berbanding dengan PAS, parti ini secara konsisten membantah keras keputusan kerajaan untuk terlibat dengan perundingan TPPA apatah lagi menyertainya kelak. Lebih dari itu, PAS telah memberi komitmen kuat bersama-sama dengan NGOs dan NGIs dalam Kongres Rakyat menentang TPPA. PPP mendapat makluman, Kongres Rakyat sedang merancang satu bantahan secara besar-besaran menjelang perbahasan TPPA dalam sidang khas parlimen yang dijangkakan Januari tahun hadapan. Jelas sekali solidariti Kongres Rakyat dalam isu TPPA ini lebih mantap dari PH.
PPP juga mengunjurkan PH tidak dapat mengulangi kejayaan yang dilakukan oleh PR dalam PRU 13, disebabkan mereka akan kehilangan sokongan pengundi Melayu secara besar-besaran. Mereka juga dijangka tidak dapat meraih sokongan pengundi India, disebabkan tiada tokoh-tokoh besar kaum India di dalam PH hari ini. Selain daripada itu, PH juga diyakini akan menghadapi masalah dalam isu pembahagian kerusi sebelum PRU akan datang. Kesemua faktor ini menjadi penyebab mengapa jangka hayat PH boleh berakhir sebaik sahaja selepas PRU 14.
Pergeseran yang berlaku antara parti-parti komponen PH, seperti mana yang berlaku di DUN Pulau Pinang minggu lepas secara jelas menunjukkan kerapuhan PH. Di masa yang sama, sehingga hari ini pembentukan kerajaan PH di Selangor tidak berjaya, malah Dato Menteri Besar Selangor meskipun didesak kuat dari luar dan dalam lebih selesa untuk sama-sama melibatkan PAS dalam mentadbir negeri. Berdasarkan perkembangan pergeseran dan konflik tersebut, PPP tidak menolak kemungkinan jangka hayat PH boleh berakhir sebelum PRU akan datang.
Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah
Pusat Penyelidikan PAS
23 November 2015
11 Safar 1437
PAS SELANGOR "BACUL"?
DAP telah mengumumkan akan bertanding di 8 kerusi PAS.
Nama-nama kerusi itu juga telah diumumkan. Chempaka, Seri Serdang, Taman Templer, Tg Sepat, Lembah Jaya, Dusun Tua Meru dan Paya Jaras adalah sasaran mereka.
Pusat Khidmat DAP telah juga dibuka di Taman Templer. Seorang Penyelaras DUN dari bangsa Melayu juga telah dilantik bagi DUN tersebut. Satu tindakan kurang ajar kerana ADUN PAS sekarang adalah seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Tetapi apakah tindak balas PAS? Tidak banyak yang dapat disaksikan.
Di Pandan jentera pilihan raya telah dilancar di DUN Teratai, satu DUN DAP. Di Sg Besar pula PAS telah menganjurkan program Semarak Hijau di DUN Sekinchan, satu lagi DUN DAP. Tetapi setakat itu sahaja.
Kenapa PAS tidak mengumumkan kerusi-kerusi DAP yang akan mereka tandingi? Adakah PAS terlalu takut kepada DAP?
Kita tunggu sebulan lagi. Adakah PAS Selangor jantan atau betina? Sama-sama kita tunggu jawapannya. (Fakri Yusuf)
Sunday, 22 November 2015
MENTERI BESAR DAN EXCO "SAKIT" JIKA PAS PEMBANGKANG.
Satu sumber dalaman menyebut PAS bersedia dengan apa sahaja kemungkinan termasuk dipaksa keluar dari kerajaan.
Di antara perancangan tersebut adalah untuk memastikan gerak kerja parti itu dapat berjalan seperti biasa walaupun tanpa Exco, Ahli Majlis, Ketua Kg atau JKKK dari PAS.
Pemimpin-pemimpin PAS negeri itu juga sedang membuat persiapan awal agar PAS tidak ketinggalan pada saingan pilihan raya umum yang akan datang.
Walau bagaimanapun kerajaan negeri tanpa PAS akan menghadapi masalah besar untuk mentadbir negeri itu dengan lancar. Kerajaan tersebut akan berhadapan dengan PAS sebagai pembangkang. Pembangkang yang memiliki bekas-bekas Exco, Ahli Majlis dan Ketua Kg.
Mereka yang pernah menjadi sebahagian dari kerajaan maka memahami tentang selok belok pentadbiran selain dari mempunyai maklumat-maklumat dalaman dan memegang rahsia-rahsia kerajaan.
Maka sudah tentu Menteri Besar dan Exco-Exco yang akan berhadapan dengan PAS sebagai pembangkang akan memikul satu tugas yang amat sukar. Kemungkinan PAS telah memikirkan isu-isu yang akan diletupkan jika mereka tersingkir. (Samiul Jafri)
Saturday, 21 November 2015
KERAJAAN PULAU PINANG SEMAKIN GOYAH?
Sangat menarik untuk diperhatikan apabila 5 ADUN PKR mengambil sikap berkecuali ketika ADUN UMNO Pulau Betong Muhammad Farid Saad mengemukakan usul bahawa semua projek penambakkan tanah di Pulau Pinang perlulah melalui proses bantahan awam sebelum kelulusan diberikan.
Ketua Menteri Pulau Pinang menganggap mereka yang berkecuali ini sebagai "bersama Umno", lalu mendesak Presiden PKR "menilai dengan teliti" keputusan lima ADUN parti itu yang berkecuali.
Sebelum ini Lim Guang Eng sangat lantang mengkritik PAS yang mengambil sikap berkecuali dalam undian kelulusan Bajet 2016 di Parlimen.
ADUN Penanti daripada PKR pula dalam tangisan meluahkan rasa terkilan dan kekecewaannya terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang dalam sidang DUN kerana tidak menjawab banyak persoalan yang beliau bangkitkan berkaitan pembangunan di DUN Penanti yang berada dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili Presiden PKR.
Usahlah disangka cerah hingga ke petang. Ingatlah juga kebarangkalian hujan di tengahari. Usahlah sombong dan angkuh apabila berkuasa sedang kuasa itu diperolehi bukan hanya dengan dokongan bersendiri.
Adakah ini tanda-tanda awal Pulau Pinang semakin goyah dan bakal terlepas daripada tangan DAP pada PRU ke14 di saat undi ahli-ahli PAS sudah pasti tidak akan dinikmati oleh DAP lagi? - Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Friday, 20 November 2015
BEZA PULAU PINANG DARI SELANGOR.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sehari setelah penubuhan Pakatan Harapan telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang adalah kerajaan Pakatan Harapan.
Walhal Menteri Besar Selangor Mohd Azmin Ali telah menegaskan bahawa kerajaan negeri Selangor adalah kerajaan Pakatan Rakyat.
Inilah perbezaan utama di antara Pulau Pinang dan Selangor. Satu Pakatan Harapan dan satu lagi Pakatan Rakyat.
PAS tidak bersama di dalam Pakatan Harapan maka JKKK PAS telah melepaskan jawatan di Pulau Pinang. Walaupun JKKK PAS tidak perlu berundur tetapi sikap Lim Guan Eng yang menyerang PAS bertubi-tubi kali menyulitkan kedudukan JKKK PAS. Akhirnya PAS mengumumkan menjadi pembangkang di Pulau Pinang.
Di Selangor, tidak ada sebab kenapa PAS perlu keluar dari kerajaan. PAS terus menyatakan ia masih bersama Pakatan Rakyat dan kerajaan negeri Selangor adalah kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Bukan orang PAS yang umumkan tetapi Menteri Besar Azmin yang umumkan di dalam Dewan Negeri Selangor. Ada faham? (Fakri Yusuf)
DAP HENDAK KUASAI MALAYSIA BERSENDIRIAN.
Pusat Penyelidikan PAS mendedahkan niat DAP untuk merampas tampuk pentadbiran kerajaan Malaysia daripada kaum Melayu dengan memperkudakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS sewaktu berada dalam Pakatan Rakyat.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, DAP turut merangka strategi tersebut dengan memperkudakan beberapa individu atau tokoh Melayu yang menyertai DAP semasa kewujudan Pakatan Rakyat.
“Semenjak PAS bertahaluf bersama DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini, Pusat Penyelidikan PAS telah menelaah strategi dan unjuran DAP untuk menguasai Malaysia melalui Pakatan Rakyat iaitu dengan memaksimakan kemenangan calon-calon bukan Islam dan meminimakan kemenangan calon-calon Islam.
Pendekatan mereka (DAP) dengan memainkan isu-isu sensitif berkaitan sentimen agama dan kaum, seperti isu kalimah Allah, penolakan dasar-dasar afirmatif seumpama Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan lain-lain. Ketika itu, PAS sentiasa menjadi halangan utama,” dedahnya dalam satu kenyataan semalam.
DAP pada Ogos lalu mengumumkan Pakatan Rakyat telah berkubur dan membentuk satu gabungan baharu parti pembangkang bersama-sama PKR dan Parti Amanah Negara (PAN).
Mohd. Zuhdi dalam pada itu mendedahkan kajian Pusat Penyelidikan PAS mendapati pemimpin DAP kini semakin rakus dan ghairah untuk menawan Putrajaya dengan menunggangi Pakatan Harapan.
Menurutnya, DAP turut menyerang kepentingan masyarakat Islam, tidak menghormati institusi Melayu, memperlekehkan kepimpinan Islam dan mengobarkan sentimen anti Melayu untuk terus melonjakkan sokongan pengundi bukan Islam.
“Bagi mendapat sejumlah kecil sokongan pengundi Islam yang turut penting untuk menawan Putrajaya, DAP mempergunakan PAN dan segelintir PKR untuk menyempurnakan hasrat mereka.
“PPP yakin pengundi Melayu-Islam akan menolak DAP, malah pengundi Cina dan bukan Islam yang lain juga akan menyedari niat kotor DAP ini,” (Sumber : JITNT)
Wednesday, 18 November 2015
DAP BAKAL TUMBANG DI SEKINCHAN JIKA ....
DAP yang menguasai kerusi DUN Sekinchan bakal kecundang jika PAS bertanding di situ.
Terdapat 41 peratus pengundi Melayu di kerusi tersebut dan jika PAS bertanding dan mendapat hampir kesemua undi Melayu maka PAS boleh merampas kerusi itu.
Ini boleh berlaku jika pengundi Cina berpecah dua, sebahagian mengundi calon DAP dan sebahagian mengundi calon Barisan Nasional daripada MCA.
ADUN Sekinchan hari ini adalah Ng Swee Lin yang merupakan "ayam sabung" DAP di dalam Dewan Negeri Selangor. Beliau telah 3 kali memenangi kerusi tersebut. (Samiul Jafri)
Monday, 16 November 2015
PAS JANGAN LARI, FIKIRKAN NASIB UMAT ISLAM.
Ramai terkejut bila ADUN-ADUN PAS menyokong calon-calon Senator PKR dan DAP untuk mewakili negeri Selangor.
Pertama kerana PAS Pusat telah memutuskan hubungan politik dengan DAP oleh itu ADUN-ADUN PAS Selangor seperti membelakangi keputusan tersebut bila memberi sokongan kepada calon DAP.
Kedua, tidakkah PAS teringinkan jawatan Senator setelah hilang seorang Exco apabila Azmin Ali dilantik menjadi Menteri Besar?
Mungkin hanya Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad dan Menteri Besar yang mengetahui apa yang telah berlaku.
Tetapi yang jelas sehari sebelum itu PAN telah datang berjumpa Azmin dan beliau tegas kerajaan negeri Selangor bukan kerajaan Pakatan Harapan, juga PAS tidak akan dikeluarkan dari kerajaan negeri.
Azmin juga menyebut di dalam sidang Dewan Negeri bahawa kerajaan negeri Selangor adalah kerajaan Pakatan Rakyat.
Adakah Azmin dan Iskandar telah mencapai persetujuan? Satu kompromi menang-menang. Sokong calon PKR dan DAP, tiada kerajaan Pakatan Harapan di Selangor.
Walau bagaimanapun yang penting PAS terus berada di dalam kerajaan. Umat Islam di Selangor tentu lega. DAP tidak dapat berbuat sesuka hati. Agenda Islam pula boleh diteruskan. Bayangkan apa akan terjadi tanpa PAS dan DAP boleh bermaharaja lela.
Tetapi seperti biasa mungkin ada suara-suara dari luar Selangor yang tidak puas hati dengan perkembangan tersebut. Seperti biasa ramai yang ingin "tumpang sekaki" apabila terdapat isu-isu Selangor. Mesti ada yang mendesak agar PAS mempertahankan maruahnya walaupun terpaksa meninggalkan kerajaan.
Walau bagaimanapun, adakah ini akan menguntungkan umat Islam di Selangor? Adakah pemimpin PAS hendak mendengar suara-suara dari luar Selangor atau suara umat Islam di akar umbi? Siapa yang lebih memahami tentang kepentingan umat Islam di Selangor? Mungkin bukan pemimpin-pemimpin PAS dari Kelantan dan Terengganu. (Samiul Jafri)
Subscribe to:
Posts (Atom)