Ramai berpandangan PAN semakin tidak rasional dengan serangan-serangan membabi buta terhadap PAS.
Sebelum ini mereka mendakwa bahawa PAS hendak mendirikan kerajaan perpaduan atau UG (Unity Government) bersama UMNO. Sekarang Presiden PAN, Mohammad Sabu, mendakwa PAS telah diresapi oleh pemikiran ISIS.
UG bermakna PAS akan bersama dengan kumpulan nasionalis. Sementara ISIS adalah kumpulan militant. Nasionalis dan militant ISIS adalah jauh berbeza dari segi ideologi. Oleh itu tuduhan PAN terhadap PAS adalah tidak masuk akal. Tidak rasional.
Tetapi kenapa ia terjadi? Mungkin kerana PAN tertekan akibat dari perkembangan-perkembangan terkini.
Yang pertama adalah apabila Menteri Besar Selangor YAB Mohammad Azmin Ali menolak penubuhan kerajaan PH di negeri Selangor. Kerajaan negeri Selangor masih dianggotai oleh PAS selain dari PKR dan DAP.
Kedua, PAS tidak memperdulikan provokasi-provokasi dari PAN. Tetapi PAS terus dengan program-program dalaman atau luaran mereka. Keahlian PAS juga meningkat berkali-kali ganda. Seolah-olah PAN bagaikan kemuncup yang menyusahkan tetapi tidak berupaya menghalang.
Ketiga dan yang paling pahit adalah sorakan gemuruh apabila nama PAS disebut pada Kongres Nasional PKR Sabtu lepas di Shah Alam. Walhal peserta kongres hanya bertepuk biasa apabila nama-nama PAN dan DAP disebut.
Begitu marah PAN sehingga Pengarah Komunikasi mereka YB Abdul Khalid Samad menyifatkan PKR sedang diperkudakan oleh PAS.
Nasib PAN amat malang. Walau pun mereka adalah "anak emas" DAP tetapi DAP sejak akhir-akhir ini tidak banyak membela PAN. Mungkin DAP telah sedar bahawa PAN tidak akan dapat menarik undi orang Melayu. Malah janji untuk menarik puluhan ribu ahli-ahli PAS hanya tinggal janji semata-mata.
Bagaikan daun-daun berwarna oren ketika musim luruh, ia akan gugur keseluruhannya. Tetapi bila tiba musim bunga, daun-daun hijau akan menggantikannya. (Fakri Yusuf)