Sunday, 7 February 2016

ORANG MELAYU BOLEH MENJADI PENDUDUK MAJORITI TETAPI PENGUNDI MINORITI.

 

Peratusan penduduk Melayu boleh melebihi 50 peratus di negara ini tetapi peratusan pengundi Melayu boleh menjadi di bawah 50 peratus.

Malah perkara ini telah berlaku di negeri-negeri seperti Perak di mana peratus penduduk Melayu melebihi 60 peratus tetapi peratus pengundi Melayu adalah di bawah 50 peratus.

Keadaan yang sama juga berlaku di Pulau Pinang di mana penduduk Melayu melebihi 50 peratus tetapi peratus pengundi Melayu adalah juga di bawah 50 peratus. Oleh itu kerusi-kerusi DUN majoriti Melayu juga bukan majoriti. Ini bermakna politik negeri itu tidak ditentukan oleh orang Melayu walau pun mereka adalah penduduk majoriti.

Salah satu sebab kenapa ini berlaku adalah kerana minat orang Melayu untuk mendaftar sebagai pengundi adalah terlalu rendah. Keadaan menjadi semakin parah apabila parti-parti Melayu seperti UMNO dan PAS kurang berkesan di dalam gerak kerja mendaftarkan pengundi-pengundi baru.

Ia amat berbeza dengan DAP. Menurut statistik parti tersebut telah mendaftar pengundi baru yang paling ramai. Setiap parti sama ada kerajaan atau pembangkang diberi peluang oleh SPR untuk mendaftarkan pengundi baru. Hampir separuh dari pengundi-pengundi yang didaftarkan oleh parti-parti politik adalah dari DAP.

Jika sikap orang Melayu tidak berubah walau pun mereka penduduk majoriti tetapi mereka boleh menjadi pengundi minoriti. Atau kerusi-kerusi majoriti Melayu akan menjadi semakin berkurangan. Ini tidak menghairankan kerana terdapat DUN majoriti Melayu di Selangor di mana pertambahan pengundi bukan Melayu adalah hampir 2 kali ganda dari pengundi Melayu. Selangor adalah negeri di mana DAP berhasrat untuk meletakkan Menteri Besar dari parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Walau bagaimana pun UMNO juga perlu disalahkan jika kerusi-kerusi majoriti Melayu semakin hilang. Pada persempadanan semula 2004 UMNO melalui SPR boleh mewujudkan kerusi-kerusi baru majoriti Melayu tetapi mereka telah memilih untuk mewujudkan kerusi-kerusi campuran. Ketika itu UMNO tidak mempercayai pengundi Melayu setelah mereka menolak UMNO pada pilihan raya umum 1999.

Pembangunan yang tidak seimbang juga boleh menyebabkan kerusi-kerusi orang Melayu semakin pupus. Pembangunan rumah-rumah mewah yang tidak mampu dibeli oleh orang Melayu akan menyebabkan taburan kaum di bandar-bandar besar tidak seimbang.

Bernam Times bukan bersifat perkauman tetapi politik sesuatu negara akan menjadi tidak stabil jika penduduk majoriti hilang kuasa politik. Malaysia akan menjadi seperti Afrika Selatan ketika era apartheid jika ini berlaku di mana penduduk kulit hitam yang majoriti tidak ada kuasa politik. Kita mahu Malaysia yang aman dan sejahtera di mana semua kaum sama-sama bekerjasama memajukan negara yang dicintai ini. (Samiul Jafri)

No comments:

Post a Comment