Wednesday, 10 February 2016

GELAGAT MAT SABU PENINGKAN KEPALA IKRAM.

 

Gelagat Presiden PAN Mohammad Sabu atau Mat Sabu membaling mikrofon ketika himpunan bebaskan Anwar Ibrahim baru-baru ini sudah tentu memeningkan kepala IKRAM.

IKRAM sebuah pertubuhan berasaskan Islam telah memberi sokongan padu kepada PAN. Ahli-ahli IKRAM telah menyertai PAN secara beramai-ramai. Malah Timbalan Presiden IKRAM Hasanuddin Mohd. Yunus telah dipilih sebagai Naib Presiden PAN.

Tetapi gelagat terkini Mat Sabu sudah tentu mencemarkan imej Islam IKRAM yang teguh di belakang PAN.

Oleh itu apa yang perlu dilakukan IKRAM? Tidak ada pilihan lain selain dari memastikan Mat Sabu diganti dengan orang lain. Beliau juga gagal menarik ahli-ahli PAS kepada PAN. Bekas Timbalan Presiden PAS itu juga bukan lagi satu aset selain dari dicop sebagai boneka DAP.

Tetapi siapa penggantinya? Bernam Times tidak hairan jika Hasanuddin sendiri yang akan menggantikan Mat Sabu. Mungkin usaha ini telah bermula. Malam tadi Hasanuddin telah turun ke Slim River dalam satu siri jelajah. (Samiul Jafri)

PEKERJA ASING : KERAJAAN NEGERI ADA KUASA.


Rakyat selalu menuding jari ke arah kerajaan pusat dalam isu pekerja asing. Kerajaan persekutuan sering menjadi sasaran kecaman.

Tetapi kerajaan negeri juga mempunyai kuasa untuk mengurangkan jumlah pekerja asing.

Kebenaran kemasukan pekerja asing dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan namun kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengurangkan malah menghalang pekerja asing dari bekerja di negeri mereka.

Contohnya bagi kontrak-kontrak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri boleh menetapkan agar pekerja-pekerja bagi syarikat yang dilantik adalah dari rakyat tempatan. Kerajaan negeri juga boleh menghadkan bilangan pekerja asing. Tetapi malang sekali kontrak-kontrak seperti mengangkat sampai melibatkan hampir 100 peratus pekerja asing.

Oleh itu kerajaan negeri perlu ada polisi atau garispanduan bagi pekerja asing. Menetapkan peratus yang dibenarkan untuk syarikat-syarikat mendapat kontrak-kontrak kerajaan negeri dan peratus pekerja-pekerja asing di premis-premis perniagaan seperti kedai makan.

PBT boleh menahan lesen perniagaan kedai-kedai yang menggaji bilangan pekerja asing melebihi dari garispanduan kerajaan negeri. Tetapi terpulang kepada "political will" kerajaan negeri untuk menggunakan kuasa mereka. (Samiul Jafri)

Tuesday, 9 February 2016

DEMI MARUAH PAN PERLU TINGGALKAN PH.


Adakah benar kenyataan Pengerusi PAN Selangor Izham Hashim bahawa mereka terpaksa bertanding kerusi-kerusi PAS pada PRU akan datang?

Jika benar demi maruah PAN perlu tinggalkan PH kerana dinafikan bertanding kerusi-kerusi selamat DAP dan PKR.

Bernam Times terkejut kerana tidak sangka PAN akan dihina sebegitu teruk oleh PKR dan DAP sehingga tidak diberikan walau pun satu kerusi selamat.

Pada mulanya Bernam Times menjangka PKR dan DAP akan menyerahkan 5 kerusi kepada PAN. Tetapi ramalan kami silap. PAN langsung tidak ada nilai di sisi PKR dan DAP. Kami turut bersimpati.

Maka apa tunggu lagi? PAN perlu mengangkat kaki dan meninggalkan PH. Sekurang-kurangnya mereka tidak akan lagi digelar kuda tunggangan DAP. (Samiul Jafri)

Monday, 8 February 2016

RINTIHAN PESERTA SMUE : DAH MATI BARU DAPAT DUIT.


Kerajaan negeri Selangor mesti menambah baik Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kerana peserta hanya menerima pembayaran RM2,500 setelah mereka meninggal dunia.

Walau pun waris mereka mendapat wang tersebut dan boleh digunakan untuk urusan menyempurnakan jenazah tetapi peserta tidak mendapat apa-apa ketika mereka masih hidup.

Dulu peserta-peserta pernah dibawa membeli-belah di bawah skim Jom Shopping tetapi amalan ini telah diberhentikan.

Bernam Times mencadangkan agar skim Jom Shopping untuk peserta SMUE ini dihidupkan semula. Perbelanjaan bagi setiap peserta hanyalah RM100 dan sudah tentu tidak akan membebankan kerajaan negeri jika dilaksanakan setahun sekali.

Sekurang-kurang ia dapat memberikan sedikit kegembiraan kepada para peserta sebelum mereka meninggalkan alam ini. (Samiul Jafri)

Sunday, 7 February 2016

DAFTAR PENGUNDI : ULAMAK PATUT MAIN PERANAN.


Para ulamak mesti berusaha untuk memastikan orang-orang Melayu mendaftar sebagai pengundi.

Tahap kesedaran orang Melayu untuk mendaftar sebagai pengundi adalah terlalu rendah sehingga terdapat negeri di mana penduduk Melayu melebihi 60 peratus tetapi jumlah pengundi Melayu kurang dari 50 peratus.

Sebagai golongan yang berpengaruh di dalam masyarakat Melayu mereka boleh memainkan peranan bagi meningkatkan kesedaran orang Melayu untuk mendaftar sebagai pengundi.

Adalah dibimbangi jika sikap orang Melayu tidak berubah mereka akan hilang kuasa politik walau pun mereka adalah penduduk majoriti.

Oleh itu ada yang berpandangan para ulamak patut mengeluarkan fatwa tentang kewajipan mendaftar sebagai pengundi. (Samiul Jafri)

BANGSATKAH KITA?


Bangsa Malaysia akan menjadi bangsat dengan TPPA?

Betulkah dakwaan ini?

Walau pun tanpa TPPA mungkin kita telah menjadi bangsat.

Pengawal keselamatan orang Nepal.

Pekerja kontrak orang Indonesia.

Pelayan restoran orang India.

Kedai runcit orang Aceh.

Nasi Arab memang Arab.

Gunting rambut orang India.

Angkat sampah orang Bangladesh.

Pasar borong orang Myanmar.

Gerai tomyam orang Thailand.

Pekerja kilang orang Nepal.

Besi buruk orang Rohingya.

Pakwe pilihan orang Afrika.

Penjaja pasar malam semua pun ada.

Apa yang kita masih ada?

ORANG MELAYU BOLEH MENJADI PENDUDUK MAJORITI TETAPI PENGUNDI MINORITI.

 

Peratusan penduduk Melayu boleh melebihi 50 peratus di negara ini tetapi peratusan pengundi Melayu boleh menjadi di bawah 50 peratus.

Malah perkara ini telah berlaku di negeri-negeri seperti Perak di mana peratus penduduk Melayu melebihi 60 peratus tetapi peratus pengundi Melayu adalah di bawah 50 peratus.

Keadaan yang sama juga berlaku di Pulau Pinang di mana penduduk Melayu melebihi 50 peratus tetapi peratus pengundi Melayu adalah juga di bawah 50 peratus. Oleh itu kerusi-kerusi DUN majoriti Melayu juga bukan majoriti. Ini bermakna politik negeri itu tidak ditentukan oleh orang Melayu walau pun mereka adalah penduduk majoriti.

Salah satu sebab kenapa ini berlaku adalah kerana minat orang Melayu untuk mendaftar sebagai pengundi adalah terlalu rendah. Keadaan menjadi semakin parah apabila parti-parti Melayu seperti UMNO dan PAS kurang berkesan di dalam gerak kerja mendaftarkan pengundi-pengundi baru.

Ia amat berbeza dengan DAP. Menurut statistik parti tersebut telah mendaftar pengundi baru yang paling ramai. Setiap parti sama ada kerajaan atau pembangkang diberi peluang oleh SPR untuk mendaftarkan pengundi baru. Hampir separuh dari pengundi-pengundi yang didaftarkan oleh parti-parti politik adalah dari DAP.

Jika sikap orang Melayu tidak berubah walau pun mereka penduduk majoriti tetapi mereka boleh menjadi pengundi minoriti. Atau kerusi-kerusi majoriti Melayu akan menjadi semakin berkurangan. Ini tidak menghairankan kerana terdapat DUN majoriti Melayu di Selangor di mana pertambahan pengundi bukan Melayu adalah hampir 2 kali ganda dari pengundi Melayu. Selangor adalah negeri di mana DAP berhasrat untuk meletakkan Menteri Besar dari parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Walau bagaimana pun UMNO juga perlu disalahkan jika kerusi-kerusi majoriti Melayu semakin hilang. Pada persempadanan semula 2004 UMNO melalui SPR boleh mewujudkan kerusi-kerusi baru majoriti Melayu tetapi mereka telah memilih untuk mewujudkan kerusi-kerusi campuran. Ketika itu UMNO tidak mempercayai pengundi Melayu setelah mereka menolak UMNO pada pilihan raya umum 1999.

Pembangunan yang tidak seimbang juga boleh menyebabkan kerusi-kerusi orang Melayu semakin pupus. Pembangunan rumah-rumah mewah yang tidak mampu dibeli oleh orang Melayu akan menyebabkan taburan kaum di bandar-bandar besar tidak seimbang.

Bernam Times bukan bersifat perkauman tetapi politik sesuatu negara akan menjadi tidak stabil jika penduduk majoriti hilang kuasa politik. Malaysia akan menjadi seperti Afrika Selatan ketika era apartheid jika ini berlaku di mana penduduk kulit hitam yang majoriti tidak ada kuasa politik. Kita mahu Malaysia yang aman dan sejahtera di mana semua kaum sama-sama bekerjasama memajukan negara yang dicintai ini. (Samiul Jafri)

Friday, 5 February 2016

DULU SELANGORKU, HARI INI SMART SELANGORKU.


Kepada rakyat Selangor yang peka sudah tentu sedar slogan SELANGORKU telah beransur-ansur ditukar kepada SMART SELANGOR.

Inisiatif-inisiatif baru di bawah Menteri Besar Mohd. Azmin Ali menggunakan jenama SMART SELANGOR.

Contohnya bas percuma SMART SELANGOR.





Hanya insiatif-inisiatif yang dimulakan di bawah Menteri Besar lama Khalid Ibrahim masih menggunakan jenama SELANGORKU. Di antaranya adalah RUMAH SELANGORKU.


Pada Bernam Times tidak ada salahnya bagi Azmin membawa jenama baru. Beliau sudah tentu tidak mahu dibayangi oleh Khalid.

Di peringkat kerajaan persekutuan juga sering berlaku penjenamaan semula. Contohnya Dr. Mahathir Mohammed membawa jenama WAWASAN 2020, Abdullah Ahmad Badawi membawa ISLAM HADHARI dan Najib Razak membawa 1MALAYSIA.

Yang penting kebajikan rakyat tidak terabai dan pembangunan diteruskan. (Samiul Jafri)

Thursday, 4 February 2016

DAP DAN PKR SERAH 5 KERUSI KEPADA PAN.

Rundingan parti-parti PH sudah tentu sedang berjalan untuk memutuskan kerusi PRU14 yang akan ditandingi oleh PAN di Selangor.

Isu kerusi PAN telah mengakibatkan pertembungan di antara PKR dan DAP kerana kedua-dua parti itu tidak mahu menyerahkan kerusi mereka.

Walau pun PAN "dilahirkan" oleh DAP tetapi mereka juga keberatan untuk menyerahkan kerusi. Malah DAP menempelak PKR supaya menyerahkan kerusi-kerusi mereka terlebih dahulu kepada PAN.

Mungkin juga kerana PAN gagal mendapat sokongan masyarakat Islam maka PKR dan DAP merasakan "tak balik modal" untuk menyerahkan kerusi kepada PAN.


Yang hampir pasti adalah PAN akan bertanding di kerusi-kerusi PAS yang mereka larikan. Ianya adalah kerusi DUN Morib dan Hulu Kelang. Juga kerusi Parlimen Shah Alam, Kota Raja dan Sepang.

Jika mereka mendapat kebenaran daripada DAP pula mereka juga akan bertanding di kerusi-kerusi PAS yang lain.

Tetapi pertembungan dengan PAS tidak akan menguntungkan PAN. Mereka dijangka kalah teruk jika bertemu 3 penjuru dengan PAS dan UMNO.

Maka PAN perlu kerusi-kerusi DAP dan PKR bagi menjamin survival politik mereka. Tetapi kerusi yang mana?

Bernam Times yakin akhirnya DAP dan PKR akan menyerahkan kerusi mereka kepada PAN. Jika tidak PAN akan pupus selepas PRU14 kerana gagal merampas kerusi-kerusi PAS.

Menurut jangkaaan kami kemungkinan besar kerusi-kerusi berikut akan diserahkan kepada PAN,

DAP - Kuala Kubu Baru dan Sg Pelik.

PKR - Dengkil, Semenyih dan Kota Damansara.

PKR dan bukan DAP yang akan menjadi Pak Sanggup kerana menyerahkan lebih banyak kerusi dari DAP.

Sama-sama kita saksikan sama ada jangkaan kami ini betul atau sebaliknya. (Samiul Jafri)

Wednesday, 3 February 2016

RAYUAN AKAR UMBI PAS : JANGANLAH BERPECAH LAGI!

Ahli-ahli PAS merayu agar pimpinan PAS berusaha agar PAS tidak berpecah lagi.

Walau pun PAN gagal menggugat PAS dan hampir pupus namun ahli-ahli di akar umbi telah penat dengan episod pasca Muktamar yang melanda PAS.

Mereka berharap pimpinan PAS di semua peringkat bersungguh-sungguh untuk memastikan PAS tidak berpecah lagi.

Ada pimpinan negeri dan kawasan yang ramai golongan ulamak dan ada pula yang ramai golongan profesional maka ahli-ahli berharap kedua-dua golongan dapat mengambil sikap "give and take" dan berlapang dada.

Jika ada Yang Di Pertua kawasan atau Pesuruhjaya negeri dari golongan profesional jangan pula ada golongan ulamak yang enggan memberikan walak.

Begitu juga jika mereka adalah dari golongan ulamak maka golongan profesional juga mesti memberi walak.

Jangan pula ada yang berebut-rebut untuk menjadi Exco, ADUN, ahli majlis atau ketua kampung.

Gandingan di peringkat PAS Pusat cukup mantap. Dengan kerjasama di kalangan ulamak dan profesional. Diharap contoh yang ditunjukkan oleh mereka akan ditauladani di peringkat bawah.






Walau bagaimana pun jika terdapat masalah ia perlu diselesaikan segera. Jangan ada yang berpura-pura dan menutupnya. Jangan menafikan ia tidak wujud.

Tetapi perlu difahami majoriti akar umbi PAS bukan dari golongan ulamak atau profesional. Majoriti mereka adalah dari golongan marhaen. Petugas-petugas parti yang setia. Perasaan mereka juga mesti dijaga. Bukan perasaan golongan ulamak dan profesional sahaja. (Samiul Jafri)

PBT SELANGOR PENGECUT.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor dikecam kerana gagal mengambil tindakan ke atas kutu-kutu sampah.

Majlis bandaraya, majlis perbandaran, majlis bandaran dan majlis daerah mempunyai undang-undang kecil untuk menghukum mereka tetapi orang ramai masih membuang sampah sesuka hati tanpa dikenakan tindakan.


Orang ramai tanpa segan silu membuang sampah di merata-rata tempat walau pun terdapat tong atau bakul sampah yang disediakan. Walau pun Selangor negeri maju tetapi sikap ramai penduduknya seperti rakyat negara dunia ketiga.

Keadaan menjadi lebih kritikal apabila terdapat ramai warga asing seperti dari Indonesia, Vietnam dan Myanmar. Mereka membawa budaya dari negara mereka yang telah menjadikan bandar-bandar di Selangor bagaikan "tong sampah besar".


Bernam Times ingin tahu apa yang dilakukan oleh Exco PBT Ean Yong Hian Wah untuk menyelesaikan keadaan? Adakah Exco DAP itu terlalu sibuk dengan isu-isu politik?

Ketika Teng Chang Kim menjadi Exco PBT beliau pernah mengumumkan kerajaan negeri sedang mengkaji undang-undang kecil untuk mendenda kutu-kutu sampah. Tetapi apakah hasil kajian tersebut?


Sebenarnya di dalam undang-undang kecil PBT terdapat peruntukan untuk menghukum. Tetapi kenapa tidak lakukan?Adakah kerana PBT tidak berani? Pengecut? Rakyat hendak tahu sebabnya.

Rakyat juga hendak tahu apakah peranan ahli-ahli majlis? Adakah mereka ahli-ahli majlis "mengabihkan boreh" yang dilantik kerana jawatan yang dipegang di dalam parti? Hanya minat dengan kerja-kerja politik atau hanya boleh menyampaikan kuliah-kuliah agama tetapi tidak minat dengan kebajikan rakyat. (Samiul Jafri)

Sunday, 31 January 2016

PEMIMPIN PAS JANGAN SUSAHKAN AHLI.

Pemimpin tertinggi PAS digesa jangan membuat kenyataan-kenyataan yang akhirnya akan menyusahkan ahli-ahli.

Mereka sepatutnya memikirkan terlebih dahulu sama ada sesuatu kenyataan itu diperlukan atau tidak. Mendatangkan keuntungan atau kerugian sebelum membuka mulut.

Akhirnya ahli-ahli atau pemimpin akar umbi yang terpaksa menjawab apabila mereka diasak oleh rakyat untuk mendapatkan penjelasan. Rakyat di bawah tidak akan mendapatkan penjelasan dari pimpinan atasan tetapi pimpinan kawasan dan cawangan akan menjadi buruan.

Tambahan pula hampir semua media tidak memihak kepada PAS. Sama ada media pro BN seperti Utusan Malaysia dan The Star atau media pro DAP seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider. PAS sentiasa menjadi mangsa.


Oleh itu kenyataan baru-baru ini oleh Setiausaha Agung PAS Taqiyuddin Hassan yang menyatakan keyakinan terhadap Tabung Haji amat menyukarkan ahli-ahli akar umbi. Komen dari seorang ketua cawangan, "Dia nak jadi hero kita pulak yang susah".

Saturday, 30 January 2016

GAMBAR-GAMBAR YANG MEMBUAT DAP DAN PAN SAKIT HATI.

Gambar-gambar pertemuan MB Selangor dan MB Kelantan ketika MB Selangor Mohd Azmin Ali membuat lawatan kerja ke Kelantan. Azmin telah berjumpa dengan pimpinan PKR Kelantan semalam.




KERAJAAN NEGERI SELANGOR DIGESA JANGAN LULUSKAN PERMOHONAN MELOMBONG BAUKSIT.

Kerajaan negeri Selangor digesa agar tidak meluluskan sebarang permohonan melombong bauksit di negeri itu.


Bernam Times difahamkan kerajaan negeri telah menerima permohonan untuk melombong bauksit. Malah permohonan tersebut telah dibincangkan pada peringkat atasan negeri. Walau bagaimana pun tiada kelulusan yang diberikan.


Bernam Times berharap kerajaan negeri tidak akan memberikan sebarang kelulusan. Penderitaan rakyat Pahang sepatutnya menjadi iktibar kepada kita.


Menteri Besar Selangor Mohd Azmin Ali digesa agar tidak melayan apa saja desakan dari mana-mana pihak supaya pelombongan bauksit di Selangor dibenarkan. Dalam sidang dewan undangan negeri Selangor tahun lepas ADUN DAP Sekincan Ng Swee Lin pernah mencadangkan agar kerajaan negeri meluluskan perlombongan bauksit di Selangor tetapi dengan mengambil langkah-langkah untuk menghalang pencemaran.

Friday, 29 January 2016

KENAPA MASIH BERLAKU GANGGUAN BEKALAN AIR?


Rakyat Selangor menuntut penjelasan kenapa Syabas telah diambil alih oleh kerajaan negeri Selangor tetapi gangguan bekalan air masih berlaku.

Jika dulu kerajaan negeri boleh berkata Syabas telah gagal. Malah ada yang berkata Syabas telah melakukan sabotaj. Tetapi apakah alasan Menteri Besar dan kerajaan negeri sekarang?

Rozali dan konco-konconya telah tiada tetapi mengapa rakyat masih terus berhadapan dengan gangguan bekalan air?

Atau adakah masih terdapat "orang Rozali" di dalam Syabas?

Atau adakah pasukan baru yang mengambil alih Syabas tidak berkemampuan?

Kami ada mendapat maklumat ketua operasi Syabas adalah seorang Mat Salleh.

Kami juga mendapat maklumat pasukan yang terlibat dengan penstrukturan semula industri air sejak zaman Khalid Ibrahim telah disingkirkan.

Rakyat perlu tahu. Rakyat tidak mahu menderita lagi. Cukuplah.

Monday, 25 January 2016

JANGAN ADA AHLI MAJLIS YANG "MENGABIHKAN BOREH".


Ahli-ahli majlis PBT Selangor telah selesai mengangkat sumpah. PKR telah menyerahkan 9 kerusi kepada PAN sementara DAP yang "melahirkan" PAN hanya memberikan 1 kerusi. Nampaknya PKR terpaksa menjadi Pak Sanggup setelah DAP membuang bayi yang ia lahirkan.

PAS pula tidak menyerahkan sebarang kerusinya kepada PAN. Syabas di atas ketegasan pimpinan PAS Selangor.

Kerusi ahli majlis PAS tidak bertambah tetapi mungkin ada rundingan belakang tabir bersama Menteri Besar Mohd. Azmin Ali. PAS sekarang ada 250 orang Ketua Kg dari 350 orang keseluruhannya. Sumber dalaman menyebut PAS mahu bilangan ini dikekalkan maka PAS tidak menuntut tambahan ahli majlis. Harap PAS tidak dikencing oleh Azmin.

Harapan umat Islam di Selangor agar ahli majlis PAS adalah sehebat Exco dan ADUN PAS. Mereka mesti berperanan. Mereka mesti berperanan di dalam mesyuarat. Mereka mesti menyumbang. Jangan membisu. Atau jangan hanya bercakap dalam isu-isu agama sahaja tetapi mesti juga lantang di dalam isu-isu pembangunan, ekonomi dan perancangan bandar.

DAP memang terkenal dengan ahli-ahli majlis yang profesional. Ramai adalah peguam, doktor dan ahli perniagaan yang berjaya. Kita harap ahli-ahli majlis PAS dapat menandingi mereka.

Kita tidak tahu berapa ramai ahli majlis PAS adalah di kalangan profesional. Tetapi yang kita tahu ahli-ahli majlis PAS dipilih berdasarkan jawatan di dalam PAS bukan kebolehan. Kita berharap mereka akan diberikan kursus agar tidak sekadar menjadi Pak Pacak atau atau pelakon tambahan di dalam mesyuarat. Mereka mungkin boleh memberi kuliah agama tetapi itu tidak mencukupi.

Mungkin di masa akan datang PAS perlu mengkaji semula cara memilih ahli majlis. Bukan lagi berdasarkan jawatan tetapi berdasarkan kebolehan dan ilmu untuk mentadbir kawasan PBT. Maka tidaklah ada ahli majlis PAS yang diketawakan pegawai kerajaan atau yang "mengabihkan boreh" (menghabiskan beras) sahaja. (Samiul Jafri)

Friday, 22 January 2016

NASIHAT BERNAM TIMES KEPADA PEMIMPIN PAS : JANGAN SERANG PKR TAPI SERANG RAFIZI DAN SAIFUDDIN.


Pemimpin PAS dinasihatkan supaya menghentikan sikap "mulut cirit-birit" dengan menyerang PKR. Maklumbalas yang diterima menunjukkan serangan-serangan tersebut menimbulkan kemarahan ramai pemimpin PKR yang mempertahankan hubungan dengan PAS. Mereka turut dihentam oleh pemimpin PKR yang dikatakan pro-DAP.

Oleh itu jika hendak menyerang maka seranglah pemimpin PKR yang menyerang PAS dan bukan PKR sebagai sebuah parti. Di peringkat akar umbi juga ramai ahli-ahli PKR yang mahu bersama PAS dan menolak DAP. PAS perlu bijak dengan mendekati mereka. Bukan bermusuh dengan mereka. Tetapi jika PAS menyerang parti mereka maka ini akan menjauhkan mereka dari PAS.

Pemimpin-pemimpin seperti Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution dilihat mengambil sikap bermusuhan dengan PAS. Sentiasa menyerang PAS dan lebih DAP dari DAP. Tetapi pemimpin seperti Menteri Besar Selangor Mohd Azmin Ali dilihat rapat dengan PAS. Malah Azmin yang bermatian-matian mempertahankan kedudukan PAS di dalam kerajaan negeri Selangor, Adakah wajar pemimpin-pemimpin PAS menyerang PKR apabila terdapat mereka seperti Azmin di dalam PKR?

Pemimpin-pemimpin PAS yang mempunyai masalah dengan PKR di negeri mereka tidak seharusnya membawa masalah itu ke peringkat kebangsaan. Mereka sepatutnya lebih matang dengan sepak terajang politik yang berlaku hari ini. Jangan disebabkan sikap tidak matang itu dan terburu-buru mereka mengakibatkan hubungan PAS dan PKR terus terputus. (Fakri Yusuf)

Wednesday, 20 January 2016

PAN BAGAI BAYI BARU LAHIR YANG TIDAK ADA ORANG YANG MAHU.


Nasib PAN hari ini adalah bagai bayi baru lahir yang tidak ada orang yang mahu.

Ini berikutan pertikaman lidah di antara PKR dan DAP tentang siapa yang patut memberi kerusi kepada PAN pada pilihan raya umum yang akan datang.

PKR mahu DAP menyerahkan kerusi mereka kepada PAN. Ini tidak hairan kerana PAN "dilahirkan" oleh DAP. Tetapi DAP membalas PKR perlu menyerahkan kerusi mereka kepada PAN terlebih dahulu sebelum DAP berbuat demikian.

Keadaan menjadi panas kerana pertikaman lidah ini melibatkan ramai pimpinan tertinggi dari kedua-dua parti seperti Exco Selangor Teng Chang Khim dan ADUN Sekinchan Ng Swee Lin. Angkatan Muda Keadilan juga terlibat.


Nampaknya walau pun DAP memberi sokongan kepada PAN apabila ia ditubuhkan namun sokongan mereka terhenti di situ. Di dalam pembahagian kerusi Ahli Majlis di Selangor baru-baru ini DAP hanya menyerahkan 1 kerusi mereka kepada PAN walhal PKR terpaksa menjadi Pak Sanggup apabila terpaksa menyerahkan 9 kerusi. PAS enggan menyerahkan apa-apa kerusi.

Tanpa kerusi selamat agak susah bagi PAN untuk memiliki sebarang wakil rakyat. PAS sudah tentu akan mencabar PAS di kerusi-kerusi PAS yang dibawa lari oleh PAN. Harapan PAN untuk menang jika berhadapan dengan PAS diramalkan tipis. (Samiul Jafri)

Monday, 18 January 2016

KAJIAN BERNAM TIMES : SATU LAWAN SATU BOLEH TETAPI.....


Pandangan di kalangan ahli-ahli PAS yang diterima oleh Bernam Times adalah mereka menerima satu lawan satu pada pilihanraya umum akan datang tetapi tidak ada parti PH yang akan mengacau kerusi PAS.

Syarat kedua adalah PAS akan mempertahankan semua kerusi yang ditandingi pada pilihan raya umum 2013. Ini bermakna semua kerusi PAS yang dibawa lari oleh PAN akan ditandingi oleh PAS. Kerusi-kerusi itu adalah Hulu Kelang dan Morib bagi kerusi DUN sementara Shah Alam, Sepang, Kota Raja bagi kerusi Parlimen.

Ini bermakna jika DAP bertanding pada kerusi PAS maka PAS akan bertanding pada kerusi DAP, Malah PAS Selangor telah mengumumkan akan bertanding di 5 kerusi DUN tambahan dan kemungkinan besar ia adalah kerusi DAP.

Untuk syarat kedua, PAN sudah tentu akan mempertahankan kerusi PAS yang mereka larikan. Oleh itu hampir 100 peratus akan berlaku pertandingan 3 penjuru. Kecuali DAP menyerahkan kerusi mereka kepada PAN.

Ini tidak mungkin berlaku kerana di dalam pembahagian kerusi Ahli Majlis, DAP hanya serahkan 1 kerusi kepada PAN walhal PKR serahkan 9 kerusi. Walaupun PAN "dilahirkan" oleh DAP tetapi PAN tidak mendapat banyak kerusi Ahli Majlis dari DAP. PKR pula yang terpaksa menjadi Pak Sanggup.

Oleh itu hasrat Menteri Besar Mohd, Azmin Ali untuk melihat satu lawan satu tidak akan menjadi kenyataan. (Samiul Jafri)

Sunday, 17 January 2016

ADAKAH BENAR PAS SELANGOR TELAH LUMPUH?

Adakah benar PAS Selangor telah lumpuh kerana ramai ahli-ahlinya telah menyertai PAN?

Mungkin ini yang dimainkan oleh propaganda PAN tetapi lihatlah gambar-gambar di bawah pada Ijtimak Pilihan Raya PAS Selangor 10 Januari lepas.














Lebih kurang 7,000 ahli-ahli PAS telah menghadiri ijtimak di Stadium Tertutup Kuala Selangor. Wakil dari cawangan-cawangan dari seluruh negara telah hadir beramai-ramai. Malah suasana hari itu dalah bagaikan Muktamar PAS Pusat. (Fakri Yusuf)