Wednesday, 10 February 2016

GELAGAT MAT SABU PENINGKAN KEPALA IKRAM.

 

Gelagat Presiden PAN Mohammad Sabu atau Mat Sabu membaling mikrofon ketika himpunan bebaskan Anwar Ibrahim baru-baru ini sudah tentu memeningkan kepala IKRAM.

IKRAM sebuah pertubuhan berasaskan Islam telah memberi sokongan padu kepada PAN. Ahli-ahli IKRAM telah menyertai PAN secara beramai-ramai. Malah Timbalan Presiden IKRAM Hasanuddin Mohd. Yunus telah dipilih sebagai Naib Presiden PAN.

Tetapi gelagat terkini Mat Sabu sudah tentu mencemarkan imej Islam IKRAM yang teguh di belakang PAN.

Oleh itu apa yang perlu dilakukan IKRAM? Tidak ada pilihan lain selain dari memastikan Mat Sabu diganti dengan orang lain. Beliau juga gagal menarik ahli-ahli PAS kepada PAN. Bekas Timbalan Presiden PAS itu juga bukan lagi satu aset selain dari dicop sebagai boneka DAP.

Tetapi siapa penggantinya? Bernam Times tidak hairan jika Hasanuddin sendiri yang akan menggantikan Mat Sabu. Mungkin usaha ini telah bermula. Malam tadi Hasanuddin telah turun ke Slim River dalam satu siri jelajah. (Samiul Jafri)

PEKERJA ASING : KERAJAAN NEGERI ADA KUASA.


Rakyat selalu menuding jari ke arah kerajaan pusat dalam isu pekerja asing. Kerajaan persekutuan sering menjadi sasaran kecaman.

Tetapi kerajaan negeri juga mempunyai kuasa untuk mengurangkan jumlah pekerja asing.

Kebenaran kemasukan pekerja asing dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan namun kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengurangkan malah menghalang pekerja asing dari bekerja di negeri mereka.

Contohnya bagi kontrak-kontrak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri boleh menetapkan agar pekerja-pekerja bagi syarikat yang dilantik adalah dari rakyat tempatan. Kerajaan negeri juga boleh menghadkan bilangan pekerja asing. Tetapi malang sekali kontrak-kontrak seperti mengangkat sampai melibatkan hampir 100 peratus pekerja asing.

Oleh itu kerajaan negeri perlu ada polisi atau garispanduan bagi pekerja asing. Menetapkan peratus yang dibenarkan untuk syarikat-syarikat mendapat kontrak-kontrak kerajaan negeri dan peratus pekerja-pekerja asing di premis-premis perniagaan seperti kedai makan.

PBT boleh menahan lesen perniagaan kedai-kedai yang menggaji bilangan pekerja asing melebihi dari garispanduan kerajaan negeri. Tetapi terpulang kepada "political will" kerajaan negeri untuk menggunakan kuasa mereka. (Samiul Jafri)

Tuesday, 9 February 2016

DEMI MARUAH PAN PERLU TINGGALKAN PH.


Adakah benar kenyataan Pengerusi PAN Selangor Izham Hashim bahawa mereka terpaksa bertanding kerusi-kerusi PAS pada PRU akan datang?

Jika benar demi maruah PAN perlu tinggalkan PH kerana dinafikan bertanding kerusi-kerusi selamat DAP dan PKR.

Bernam Times terkejut kerana tidak sangka PAN akan dihina sebegitu teruk oleh PKR dan DAP sehingga tidak diberikan walau pun satu kerusi selamat.

Pada mulanya Bernam Times menjangka PKR dan DAP akan menyerahkan 5 kerusi kepada PAN. Tetapi ramalan kami silap. PAN langsung tidak ada nilai di sisi PKR dan DAP. Kami turut bersimpati.

Maka apa tunggu lagi? PAN perlu mengangkat kaki dan meninggalkan PH. Sekurang-kurangnya mereka tidak akan lagi digelar kuda tunggangan DAP. (Samiul Jafri)

Monday, 8 February 2016

RINTIHAN PESERTA SMUE : DAH MATI BARU DAPAT DUIT.


Kerajaan negeri Selangor mesti menambah baik Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kerana peserta hanya menerima pembayaran RM2,500 setelah mereka meninggal dunia.

Walau pun waris mereka mendapat wang tersebut dan boleh digunakan untuk urusan menyempurnakan jenazah tetapi peserta tidak mendapat apa-apa ketika mereka masih hidup.

Dulu peserta-peserta pernah dibawa membeli-belah di bawah skim Jom Shopping tetapi amalan ini telah diberhentikan.

Bernam Times mencadangkan agar skim Jom Shopping untuk peserta SMUE ini dihidupkan semula. Perbelanjaan bagi setiap peserta hanyalah RM100 dan sudah tentu tidak akan membebankan kerajaan negeri jika dilaksanakan setahun sekali.

Sekurang-kurang ia dapat memberikan sedikit kegembiraan kepada para peserta sebelum mereka meninggalkan alam ini. (Samiul Jafri)

Sunday, 7 February 2016

DAFTAR PENGUNDI : ULAMAK PATUT MAIN PERANAN.


Para ulamak mesti berusaha untuk memastikan orang-orang Melayu mendaftar sebagai pengundi.

Tahap kesedaran orang Melayu untuk mendaftar sebagai pengundi adalah terlalu rendah sehingga terdapat negeri di mana penduduk Melayu melebihi 60 peratus tetapi jumlah pengundi Melayu kurang dari 50 peratus.

Sebagai golongan yang berpengaruh di dalam masyarakat Melayu mereka boleh memainkan peranan bagi meningkatkan kesedaran orang Melayu untuk mendaftar sebagai pengundi.

Adalah dibimbangi jika sikap orang Melayu tidak berubah mereka akan hilang kuasa politik walau pun mereka adalah penduduk majoriti.

Oleh itu ada yang berpandangan para ulamak patut mengeluarkan fatwa tentang kewajipan mendaftar sebagai pengundi. (Samiul Jafri)

BANGSATKAH KITA?


Bangsa Malaysia akan menjadi bangsat dengan TPPA?

Betulkah dakwaan ini?

Walau pun tanpa TPPA mungkin kita telah menjadi bangsat.

Pengawal keselamatan orang Nepal.

Pekerja kontrak orang Indonesia.

Pelayan restoran orang India.

Kedai runcit orang Aceh.

Nasi Arab memang Arab.

Gunting rambut orang India.

Angkat sampah orang Bangladesh.

Pasar borong orang Myanmar.

Gerai tomyam orang Thailand.

Pekerja kilang orang Nepal.

Besi buruk orang Rohingya.

Pakwe pilihan orang Afrika.

Penjaja pasar malam semua pun ada.

Apa yang kita masih ada?

ORANG MELAYU BOLEH MENJADI PENDUDUK MAJORITI TETAPI PENGUNDI MINORITI.

 

Peratusan penduduk Melayu boleh melebihi 50 peratus di negara ini tetapi peratusan pengundi Melayu boleh menjadi di bawah 50 peratus.

Malah perkara ini telah berlaku di negeri-negeri seperti Perak di mana peratus penduduk Melayu melebihi 60 peratus tetapi peratus pengundi Melayu adalah di bawah 50 peratus.

Keadaan yang sama juga berlaku di Pulau Pinang di mana penduduk Melayu melebihi 50 peratus tetapi peratus pengundi Melayu adalah juga di bawah 50 peratus. Oleh itu kerusi-kerusi DUN majoriti Melayu juga bukan majoriti. Ini bermakna politik negeri itu tidak ditentukan oleh orang Melayu walau pun mereka adalah penduduk majoriti.

Salah satu sebab kenapa ini berlaku adalah kerana minat orang Melayu untuk mendaftar sebagai pengundi adalah terlalu rendah. Keadaan menjadi semakin parah apabila parti-parti Melayu seperti UMNO dan PAS kurang berkesan di dalam gerak kerja mendaftarkan pengundi-pengundi baru.

Ia amat berbeza dengan DAP. Menurut statistik parti tersebut telah mendaftar pengundi baru yang paling ramai. Setiap parti sama ada kerajaan atau pembangkang diberi peluang oleh SPR untuk mendaftarkan pengundi baru. Hampir separuh dari pengundi-pengundi yang didaftarkan oleh parti-parti politik adalah dari DAP.

Jika sikap orang Melayu tidak berubah walau pun mereka penduduk majoriti tetapi mereka boleh menjadi pengundi minoriti. Atau kerusi-kerusi majoriti Melayu akan menjadi semakin berkurangan. Ini tidak menghairankan kerana terdapat DUN majoriti Melayu di Selangor di mana pertambahan pengundi bukan Melayu adalah hampir 2 kali ganda dari pengundi Melayu. Selangor adalah negeri di mana DAP berhasrat untuk meletakkan Menteri Besar dari parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Walau bagaimana pun UMNO juga perlu disalahkan jika kerusi-kerusi majoriti Melayu semakin hilang. Pada persempadanan semula 2004 UMNO melalui SPR boleh mewujudkan kerusi-kerusi baru majoriti Melayu tetapi mereka telah memilih untuk mewujudkan kerusi-kerusi campuran. Ketika itu UMNO tidak mempercayai pengundi Melayu setelah mereka menolak UMNO pada pilihan raya umum 1999.

Pembangunan yang tidak seimbang juga boleh menyebabkan kerusi-kerusi orang Melayu semakin pupus. Pembangunan rumah-rumah mewah yang tidak mampu dibeli oleh orang Melayu akan menyebabkan taburan kaum di bandar-bandar besar tidak seimbang.

Bernam Times bukan bersifat perkauman tetapi politik sesuatu negara akan menjadi tidak stabil jika penduduk majoriti hilang kuasa politik. Malaysia akan menjadi seperti Afrika Selatan ketika era apartheid jika ini berlaku di mana penduduk kulit hitam yang majoriti tidak ada kuasa politik. Kita mahu Malaysia yang aman dan sejahtera di mana semua kaum sama-sama bekerjasama memajukan negara yang dicintai ini. (Samiul Jafri)